'GEAR Lever' Patah Punca Damok 'DNF' Di Silverstone!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/7/20231 min read

KEPUTUSAN positif yang diharapkan pelumba Moto3 negara Syarifuddin Azman di Silverstone, Grand Prix (GP) British tidak menjadi kenyataan berikutan masalah teknikal jentera.

Tiba di Silverstone dengan semangat tinggi selepas 'terlepas' tiga pusingan susulan kecederaan, pelumba yang dikenali sebagai Damok itu terpaksa melupakan perlumbaan selepas 'Gear lever' jenteranya patah.

“Terima kasih kepada semua peminat saya dan juga pasukan saya yang sentiasa menyokong dan beri kata kata semangat kepada saya terutama kepada pasukan saya kerana bertungkus lumus menambah baik jentera saya.

"Saya sedikit kecewa kerana ‘gear lever’ saya patah. Tapi apapun, saya tetap bermotivasi untuk perlumbaan seterusnya," kata pelumba pasukan MT Helmets - Msi yang menggunakan jentera KTM itu.

Damok terpaksa 'melupakan' tiga pusingan perlumbaan Moto3 selepas mengalami kecederaan ketika sesi ujian pada pusingan ke-6 di Mugello, Itali.

Mengulas lanjut, Damok yang dijadual menjalani ujian di Silverstone, hari ini berharap untuk terus mencari pelarasan terbaik bersama jenteranya dan berusaha untuk memperbaiki diri.

"Terima kasih kepada semua. Jumpa anda di perlumbaan seterusnya," kata Damok yang sebelum berangkat ke England masih meletakkan sasaran bergelar pelumba 'Rookie' Moto3 terbaik 2023.

Begitupun, sasaran itu nampak semakin sukar buat Damok apabila seorang lagi 'muka baru' Moto3, David Alonso dari Colombia memenangi perlumbaan pertamanya musim ini di Silverstone.

Perlumbaan pusingan ke-10 Moto3 dijadual berlangsung di GP Austria di Red Bull Ring pada 18 hingga 20 Ogos ini.