GELARAN Berganda Marc Marquez Di Assen

Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez terus mengganas apabila melakar kemenangan ke-7 pada musim ini dengan menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Belanda 2025 di Assen yang juga kemenangan ke-68 dalam kariernya di kelas utama

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/29/20252 min read

MARC Marquez terus tidak mampu dikalahkan apabila melakar kemenangan ke-7 pada musim ini dengan menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Belanda 2025 di Assen yang juga kemenangan ke-68 dalam kariernya di kelas utama.

Keputusan itu menyaksikan pelumba pasukan Ducati Lenovo itu menyamai jumlah kemenangan yang dipegang legenda, Giacomo Agostini yang juga jumlah kemenangan kedua terbanyak di belakang Valentino Rossi.

Selain itu, kemenangan turut menyaksikan Marc meningkatkan kelebihannya sebagai pendahulu carta kejuaraan MotoGP kepada 68 mata di depan adiknya, Alex Marquez yang tidak menamatkan perlumbaan di Assen kerana kemalangan.

Memulakan perlumbaan di petak ke-4, Marc sekali lagi memperoleh permulaan yang baik ketika pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo tidak berjaya mempertahankan kedudukannya sekali pun bermula di petak utama.

Dan selepas merampas kedudukan pendahulu daripada rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia, Marc mengekalkan kedudukannya sebelum kedudukannnya dicabar pelumba Aprilia, Marc Bezzecchi.

Tetapi cubaan pelumba kelahiran Itali itu untuk memintas Marc tidak kesampaian dan terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan 0.635 saat (s) selepas itu di tempat kedua.

Bagnaia melengkapkan kedudukan podium.

Quartararo yang turut terselamat daripada kemalangan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 sebagai pelumba Yamaha terbaik.

Dalam pada itu, kemalangan yang berlaku di pusingan ke-6 mengikuti pertarungan dengan pelumba KTM, Pedro Acosta menyaksikan Alex berdepan kecederaan patah tangan.

Pelumba terbaik Honda kekal menjadi milik Johann Zarco dari LCR Honda di tempat ke-12.

Secara keseluruhan, hanya 16 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan dengan tempat terakhir menjadi milik pelumba ujian HOnda, Aleix Espargaro.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Belanda 2025

  1. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 40m 14.072s

  2. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +0.635s

  3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +2.666s

  4. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +6.084s

  5. Maverick Vinales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +10.124s

  6. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +12.163s

  7. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +18.896s

  8. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +20.295s

  9. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +23.687s

  10. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +23.743s

  11. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +24.251s

  12. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +24.875s

  13. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +24.882s

  14. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +25.065s

  15. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +49.219s

  16. Aleix Espargaro (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +49.360s

Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF

Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), DNF

Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, DNF

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF

Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), DNF

Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, DNF