GELARAN Juara Dunia MotoGP 2023 Milik Francesco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/26/20232 min read

JAGUH Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dinobatkan sebagai juara dunia MotoGP 2023 dengan cara paling cemerlang - menjuarai perlumbaan penutup tirai di Grand Prix (GP) Valencia, hari ini.

Diasak sengit pencabar utamanya Jorge Martin dari Pramac Ducati di awal perlumbaan, kesilapan pelumba Sepanyol itu memberi ruang untuk Bagnaia 'bernafas'.

Dan kesilapan dilakukan Martin yang mengakibatkan dia mengalami kemalangan dengan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez meranapkan terus peluangnya untuk bergelar juara dunia.

Insiden itu bukan saja malang buat Martin, malah buat Marc Marquez yang turut mengucapkan selamat tinggal kepada Honda selepas GP Valencia berakhir.

Kejayaan mengekalkan gelaran dunia MotoGP berturut-turut juga menakjubkan buat Yamaha sejak kali terakhir Marc Marquez melakukannya pada musim 2029.

Tetapi apa yang lebih menarik, ini kali pertama pelumba yang menggunakan nombor 'juara' '1' meraih kemenangan berturut-turut sejak legenda Australia, Mick Doohan melakukannya pada 1998.

Selain kemenangan Bagnaia, Ducati turut cemerlang dengan kesemua gelaran podium di Ricardo Tormo menggunakan jentera Itali itu.

Di tangga kedua adalah pelumba Gresini Ducati, Fabio Di Giannantonio dan melengkapkan kedudukan podium adalah Johann Zarco yang juga rakan sepasukan Martin di Pramac Ducati.

Selepas mendapat sedikit ruang untuk 'lega' selepas penyingkiran Martin, Bagnaia selepas itu diasak sengit dua pelumba KTM, Brad Binder dan Jack Miller dan terperosok ke tangga ketiga.

Begitupun, beberapa siri kesilapan menyaksikan Binder terkeluar daripada pemburuan kemenangan ketika Miller turut mengalami kemalangan ketika sedang memimpin perlumbaan.

Kembali memimpin perlumbaan, Bagnaia mendapat cabarang sengit daripada Zarco tetapi Di Giannantonio paling memberikannya rasa 'gundah' terutama di minit-minit terakhir perlumbaan.

Tetapi asakan Di Giannantonio seperti agak lewat dengan Bagnaia atau lebih mesra dikenali sebagai Pecco berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga garisan penamat.

Sementara itu, perlumbaan di Valencia turut dicemari dengan pelbagai siri kemalangan yang menyaksikan hanya 14 pelumba berjaya melepasi garisan penamat.

Berikut adalah keputusan penuh MotoGP GP Valencia 2023

1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23) 40m 58.535s

2. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22) +0.176s

3. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23) +0.360s

4. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16) +2.347s

5. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22) +4.636s

6. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22) +4.708s

7. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1) +4.736s

8. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23) +8.014s

9. Luca Marini (ITA) Mooney) VR46 Ducati (GP22) +9.486s

10. Maverick Viñales) (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23) +10.556s

11. Fabio Quartararo) (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1) +12.001s

12. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V) +21.695s

13. Lorenzo Savadori (ITA) RNF Aprilia (RS-GP22) +43.297s

14. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16) +2 laps

Alex Rins (SPA) LCR Honda (RC213V) DNF

Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16) DNF

Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23) DNF

Augusto Fernandez (SPA Tech3 GASGAS (RC16) DNF

Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V) DNF

Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23) DNF

Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22) DNF