GELARAN Juara Dunia WorldSBK 2024 Milik Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/19/20241 min read


TOPRAK Razgatlioglu menambah koleksi trofi elit dalam kabinetnya selepas menjuarai gelaran dunia WorldSBK musim 2024.
Gelaran pada musim ini adalah yang kedua buat Razgatlioglu dalam kariernya kali ini bersama pengeluar Jerman, BMW Motorrad selepas memenanginya bersama Yamaha pada 2021.
Apa yang menarik, ini adalah musim pertama pelumba bintang kelahiran Turki itu bersama BMW yang turut menyaksikan BMW meraih kejuaraan dunia pertamanya.
Malah, Razgatlioglu tidak perlu menunggu perlumbaan terakhir untuk mengesahkan kemenangannya dan cukup menamatkan Perlumbaan 1 di pusingan terakhir di Jerez, Sepanyol di tempat kedua.
Secara keseluruhan bagi musim 2024, Razgatlioglu menjuarai 18 kemenangan dan 28 kedudukan podium dan menariknya, angka itu diperoleh sekalipun dia terpaksa melupakan dua pusingan secara total susulan kecederaan.
Selain itu, Razgatlioglu turut memecahkan rekod 13 kemenangan berturut-turut.
Apa yang pasti, kejayaan yang diperoleh Razgatlioglu tidak mudah malah ramai tidak menjangka ia boleh dilakukan terutama buat pelumba yang baru menyertai pasukan baharu.
"Permulaan musim tidak mudah kerana pada perlumbaan pertama, terutama di Australia, saya tidak melakukan tugas saya dengan baik kerana tayar mengalami penurunan cengkaman yang banyak, dan saya memusnahkan tayar," kata Razgatlioglu kepada Eurosport.
"Tetapi apabila kami tiba di Eropah, kami mula menang. 13 kemenangan berturut-turut adalah menakjubkan dan akhirnya kami adalah juara dunia.
"Selepas kecederaan teruk (Magny-Cours) kami kembali dengan amat kuat. Ini menakjubkan untuk saya, dan saya juga berfikir ini adalah tahun terbaik dalam karier saya. Mungkin tahun depan kami akan melakukannya dengan lebih baik."
