GELARAN Juara SS600 Milik Helmi Azman
Kemenangan Helmi Azman yang berasal dari Kajang, Selangor begitupun tidak mudah apabila dia yang bermula dari petak keenam terpaksa mengerah segala keringat untuk bangkit sebelum mengesahkan kemenangan penuh bermakna di laman sendiri dan buat pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/11/20261 min read


PELUMBA pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia, Helmi Azman mencipta ceria peminat sukan pemotoran tempatan apabila mengungguli perlumbaan pertama kelas SuperSports 600cc (SS600) pada Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Kemenangan pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu begitupun tidak mudah apabila dia yang bermula dari petak keenam terpaksa mengerah segala keringat untuk bangkit sebelum mengesahkan kemenangan penuh bermakna di laman sendiri.
Sebaik perlumbaan dimulakan, pelumba Honda Racing Thailand, Thanat Laoongplio bertindak pantas memimpin kelompok hadapan, disusuli Wahyu Nugroho (Yamaha Racing Indonesia) yang pada awalnya berjaya memintas rakan sepasukan Helmi, Khairul Idham Pawi.
Tetapi Khairul Idham yang memulakan perlumbaan di petak utama tidak menunggu lama untuk mempamerkan bangkit apabila pantas merampas kedudukan pendahulu.
Bekas pelumba Kejuaraan Dunia Moto2 dan Moto3 negara itu cemerlang mengekalkan kedudukannya di depan untuk beberapa pusingan tetapi situasi itu berubah pada pusingan kelima apabila pelumba pencabar, Anupab Sarmoon melancarkan serangan.
Keadaan itu digunakan sebaik mungkin oleh Helmi yang bijak membaca situasi dan mencuri peluang menyelinap masuk ke hadapan tanpa disedari untuk merampas kedudukan pendahulu.
Dan sejak itu, Helmi mula mengawal rentak saingan, sambil diekori rapat oleh Anupab dan Khairul Idham.
Begitupun, Honda Racing Malaysia sedikit tersentak pada pusingan ke-9 apabila nasib tidak menyebelahi Khairul Idham selepas dia terbabas di selekoh 4 sekali gus menamatkan perlumbaan lebih awal.
Persaingan menjadi lebih sengit menjelang pusingan-pusingan terakhir dan walaupun diberikan asakan berterusan daripada Anupab, Helmi berjaya mengekalkan ketenangannya untuk melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan masa 21 minit 58.392 saat.
Anupab terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan perbezaan masa yang sangat tipis iaitu 0.293 saat (21:58.685s), manakala pelumba Indonesia, Herjun Atna Firdaus memintas Wahyu untuk melengkapkan pentas podium di tempat ketiga (22:02.372s).
Dalam pada itu, penyandang juara keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Hong Leong Yamaha Racing sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.
Seorang lagi pelumba Malaysia yang mewakili Victor Racing Team Yamaha, Md Izam Ikmal pula berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.

