GELARAN 'Rookie' Terbaik Moto3 2023 Masih Sasaran Damok, Cergas 100% Menjelang Aksi Di Silverstone!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/1/20231 min read

TIDAK kenal erti mengalah. Perkataan itu jelas menjadi azimat buat pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman yang masih belum melupakan sasarannya untuk bergelar rookie terbaik kelas berkenaan bagi kempen 2023.

Peluang Damok untuk menggapai sasaran itu 'tersekat' selepas terpaksa berehat tiga pusingan susulan kecederaan yang dihadapinya pada Jun lalu di Itali.

Damok terpaksa diketapikan daripada tiga pusingan perlumbaan selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan di Itali. Selain Itali, pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu turut terlepas aksi di Jerman dan Belanda.

Selepas menjalani sesi pemulihan di Malaysia, Damok kembali berangkat ke Sepanyol, semalam untuk mengharungi GP Britain, hujung minggu ini di mana keadaan dirinya disifatkan sudah 100 peratus pulih daripada kecederaan tulang rusuk yang dihadapi dan cergas sepenuhnya.

"Memang tak sabar untuk kembali ke perlumbaan. Selepas pulih, saya teruja untuk kembali ke Sepanyol untuk berlatih sebelum pergi ke Britain. Saya juga harap rakan sepasukan (Diogo Moreira) yang pernah mendapat petak utama di Silverstone untuk membantu saya dan berada di kelompok hadapan.

"Ketika ini, saya masih meletakkan sasaran untuk gelaran 'Rookie of the year'. Kerana sekarang sudah memasuki pertengahan musim, saya perlu berusaha lebih kuat dan berharap beberapa lagi pusingan untuk gelaran ini," kata Damok.

Sekalipun tidak mustahil, Damok yang beraksi bersama pasukan MT Helmets-MSI sebenarnya mempunyai tugas sukar untuk mencapai sasarannya selepas hanya mengutip lima mata daripada lapan pusingan perlumbaan.

Daripada enam 'muka baru' di Moto3 musim ini, David Alonso dari Colombia nampak seperti memiliki peluang cerah selepas mendahului carta dengan 65 mata diikuti Jose Antonio Rueda (Sepanyol) 52 mata, Collin Veijer (27 mata) dan David Salvador (20 mata).

Selain kembali cergas sepenuhnya, Damok turut mendapat 'kekuatan' baharu selepas memperoleh cahaya mata sulung pada bulan lalu yang diharap menjadi pembakar semangat untuknya meraih keputusan terbaik di Silverstone nanti.