GELARAN 'Rookie' Terbaik MotoGP Sasaran Fermin Aldeguer

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/25/20241 min read

PELUMBA Gresini Ducati, Fermin Aldeguer menjelaskan sasarannya pada musim pertamanya di MotoGP adalah untuk meraih gelaran 'Rookie' terbaik.

Tidak seperti tahun ini yang menyaksikan Pedro Acosta menjadi satu-satunya 'rookie' tunggal di MotoGP, tiga muka baru bakal bersaing bagi musim 2025 iaitu Aldeguer, Ai Ogura dan Somkiat Chantra.

Pertama kali menunggang jentera MotoGP ketika ujian di Barcelona, baru-baru ini, Aldeguer yang mendominasi saingan Moto2 pada penghujung musim 2023 tetapi hanya berjaya menang tiga perlumbaan musim ini menamatkan sesi berkenaan sebagai pelumba 'Rookie' dengan catatan terpantas, tetapi posisi ke-20 dan ketinggalan 1.761 saat berbanding rakan sepasukannya, Alex Marquez.

"Ini adalah sasarannya (Rookie terbaik) tetapi kami perlu kekal tenang dan kemudian pergi selangkah demi selangkah," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu yang akan mendapat bekas ketua krew Marc Marquez di Gresini, Frankie Carchedi.

Aldeguer berkata dia perlu memahami jentera MotoGP yang jelas mempunyai lebih banyak ciri elektronik dengan pantas selain pemahaman terhadap tayar dan sistem brek.

"Segala-galanya menakjubkan, pecutan, kelajuan, tetapi saya fikir apa yang paling penting adalah ketika membrek. Ia menakjubkan, kamu boleh melakukan brek dengan amat lewat dan masih boleh menghentikan jentera.

"Memahaminya pada pusingan pertama adalah sukar. Tayar juga amat berbeza (Pirelli - Moto2 dan Michelin - MotoGP) tetapi sukar untuk menjelaskannya kerana jenteranya berbeza.

"Tetapi Michelin tidak simetrik, kamu dapat merasakannya dan boleh memberikan lebih tekanan di bahagian kiri. Tetapi ia mungkin sedikit sejuk dan saya kehilangan cengkaman di depan jadi saya perlu mendapatkan beberapa lagi pusingan untuk memahaminya.

"Saya perlu bekerja lebih sedikit dari susut gaya tungganganya saya dengan jentera. Saya fikir belum tiba masanya untuk berfikir mengenai pelarasan ketika ini, kita akan melihat apa yang berlaku di Sepang.

"Tetapi staf Ducati dan pasukan saya gembira."

Ketiga-tiga 'Rookie' MotoGP musim 2025 akan mengharungi ujian Sepang shakedown yang dijadual bermula pada 31 Januari tahun depan.