GEMBIRA Kejayaan 'Frankie', Tapi Jangan Sampai 'Mengganggu', Kata Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/8/20241 min read


JORGE Martin gembira dengan kejayaan rakan sepasukannya di Pramac Ducati, Franco Morbidelli yang 'kembali' ke podium selepas beberapa tahun namun mengingatkan itu agar 'berhati-hati' jika mereka berdua terpaksa bersaing di Misano.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu memperoleh permulaan yang 'sempurna' pada Perlumbaan Sprint, semalam yang menyaksikannya memecut daripada petak ke-4 dan mendahului perlumbaan seawal selekoh pertama.
Dan momentum itu diteruskan pendahulu kejuaraan dunia MotoGP 2024 itu untuk meraih kemenangan keempatnya dalam Perlumbaan Sprint yang kali terakhir diraihnya di GP Jerman pada musim ini.
"Pasukan tidak memiliki sebarang kekurangan, ia pasukan yang hebat dan saya gembira untuk 'Frankie,' (Morbidelli), dia sudah lama tidak berada di podium (sejak 2021). Jadi saya amat gembira atas kejayaannya," kata Martin.
Sebagai pelumba 'keluaran' akademi VR46, sama seperti Francesco Bagnaia yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, timbul persoalan membabitkan situasi berkenaan.
Tetapi bagi Martin, perkara itu tampak tidak membimbangkannya namun memberi amaran agar rakan sepasukannya itu lebih berhati-hati atau berpotensi menjadi punca kemalangan.
"Saya tidak perlukan sebarang bantuan luar, satu-satunya perkara yang kamu boleh minta daripada rakan sepasukan kamu, jika terpaksa bersaing, dia tidak membuatkan kamu keluar daripada perlumbaan," kata Martin.
"Selain itu, saya mengharapkan dua turut mendapat keputusan yang hebat juga esok (hari ini), asalkan tiada sebarang sentuhan."
Pada tahun lalu di Phillip island, Australia, bekas rakan sepasukan Martin, Johann Zarco 'merampas' mata penting bagi pemburuan gelaran keseluruhan apabila mencatat kemenangan dalam perlumbaan yang turut menyaksikan pertarungan membabitkan Zarco dan Martin.
"Saya tidak lagi berfikir mengenai perkara itu, tetapi kadang kala apabila kamu bersaing merebut kemenangan, sukar untuk berfikir mengenai perkara lain, tetapi di antara rakan sepasukan kamu sentiasa lebih berhati-hati," katanya.
