GENERASI Baharu Ducati Scrambler (2023) Tiba Di Malaysia, Harga Mula RM 62.9k!

PELANCARAN

8/4/20232 min read

TIGA varian generasi baharu Ducati Scrambler - Ducati Scrambler Icon, Full Throttle dan Nightshift (2023) selamat 'mendarat' di pasaran Malaysia, hari ini bersama harga jualan menarik bermula RM 62,900 (asas).

Diperkenal sebagai salah satu model yang 'disegarkan' sempena Ducati World Premiere (DWP) tahun lalu, Ducati Scrambler (2023) tampil lebih moden, ringan dan 'menyeronokkan' terutama buat tunggangan harian.

Apa yang menarik, penampilannya di pasaran tempatan tidak menunggu masa lama, hanya beberapa bulan selepas fasa produksinya di peringkat global bermula pada Mac lalu.

Sebelum pergi lebih jauh, pilihan varian dan harga untuk Ducati Scrambler (2023) di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Ducati Scrambler Icon (2023): RM 62,900

  • Ducati Scrambler Full Throttle (2023): RM 69,900

  • Ducati Scrambler Nightshift (2023): RM 69,900

Seperti biasa, harga yang disyorkan itu adalah asas dan belum termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran. Di Malaysia, Ducati Scrambler turut menjadi antara model terlaris di pasaran dan dikatakan menyumbang hampir 30 peratus jualan keseluruhan Ducati Malaysia, tahun lalu.

Justeru, syarikat itu menyasarkan untuk mengekalkan prestasi itu tahun ini, sekalipun ia hanya memasuki pasaran pada Ogos. Dan menurut Ducati Malaysia, penghantaran pertama Ducati Scrambler (2023) dijadual bermula pada Oktober ini dan setakat ini, sudah 50 unit tempahan diterima.

Sebagai info, Ducati Scrambler yang membuat penampilan sulung pada 2015 sudah mencatatkan lebih 100,000 unit jualan seluruh dunia.

Mengulas trenkuasa, Ducati Scrambler (2023) yang beratnya berjaya dikurangkan sehingga 4 kg berbanding generasi terdahulu dipadankan dengan enjin Desmodue bersesaran 803 cc, 2 Silinder, 2 Injap Per Silinder, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api (ketiga-tiga varian).

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah pada angka 73 Hp pada 8,250 rpm dan tork 65.2 Nm pada 7,000 rpm.

Seperti model-model moden Ducati yang lain, Ducati Scrambler (2023) turut menggunakan teknologi 'ride by wire' yang menampilkan mod tunggangan, Kawalan Traksi Ducati (DTC) empat tetapan (termasuk boleh nyah-aktif), dan penggunaan panel meter digital berwarna TFT 4.3 inci yang lengkap dengan Ducati Multimedia System (DMS).

Menggunakan kerangka trellis keluli, sistem suspensi motosikal ini dijana fork jenis terbalik (USD) Kayaba 41 mm di depan dan penyerap hentak tunggal Kayaba boleh laras prabeban (belakang).

Sistem brek menggunakan cakera tunggal 330 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal 245 mm dengan kaliper piston tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-kunci Belok (ABS Cornering) Bosch sebagai ciri standard.

Sebagai perbezaan, Ducati Scrambler Icon (2023) dan Ducati Scrambler Full Throttle (2023) dipadankan dengan rim jenis aloi manakala Ducati Scrambler Nightshift (2023) menggunakan rim jenis jejari.

Kepada yang gemarkan kelainan, Ducati Scrambler varian Icon tampil dengan sesuatu yang berbeza iaitu tangki bahan api yang boleh ditukar ganti.

Secara keseluruhan, sembilan pilihan warna boleh ganti ditawarkan untuk varian Icon iaitu Storm Green, Rio Celeste, Tangerine Orange, Jade Green, Sparkling Blue, Velvet Red, ‘62 Yellow, Thrilling Black dan Ducati Red.

Untuk Ducati Scrambler Full Throttle (2023), antara keistimewaannya adalah seperti mufler ekzos Termignoni, Ducati Quick Shift (DQS), Ducati Performance LED, 2 mod tunggangan: Road dan Sport dan pilihan warna eksklusif Rosso GP ’19.

Manakala Ducati Scrambler Nightshift (2023), selain rim jenis jejari, ia memiliki mod tunggangan berbeza (Road dan Wet) dan pilihan warna eksklusif Nebula Blue.

Ciri-ciri lain yang dikongsi adalah seperti sistem lampu LED penuh dan kapasiti tangki minyak 13.5 liter.