GENERASI Baharu SYM VF3i Diintip Jalani Ujian, Pelancaran Awal Tahun Depan?
TULAR
12/29/20231 min read


SELEPAS mengharungi pelbagai siri kemas kini yang tak begitu mengujakan sejak pelancarannya sekitar lima tahun lalu, kapcai berstatus 'Super moped' keluaran SYM, SYM VF3i berkemungkinan besar memperoleh generasi terbaharu tak lama lagi.
Bukan sekadar cakap kosong, perkembangan menarik itu diperoleh hasil daripada imej intip sebuah model kapcai terbaharu yang menariknya, didakwa rakan-rakan media automotif tempatan sebagai generasi baharu SYM VF3i.
Dalam imej berkenaan, nampak dilihat model yang didakwa itu datang dengan rekaan serba baharu, termasuk lampu utama yang diposisikan di bahagian panel depan seperti Honda RS-X dan Aveta SVR180.
Selain sebuah gambar yang menunjukkan ia sedang mengisi petrol, turut muncul sebuah lagi gambar yang menunjukkan penunggang uji motosikal berkenaan menggunakan jaket SYM.
Sekalipun tidak dapat dilihat secara terus, logo SYM turut dikatakan dapat dilihat di bahagian pelindung enjin, ekzos dan pelana.
Dan memberikan petanda ia model daripada SYM, ia dilihat melakukan ujian bersama model 'kruiser' berkemungkinan besar daru jenama MPB yang juga bernaung di bawah MForce.
Sekalipun mendapat perubahan major dari sudut rekaan, tidak diketahui sama ada peningkatan dibuat dari sudut spesifikasi trenkuasa mahupun teknikal.
Tetapi apa yang boleh dijangkakan adalah trenkuasa yang dipadankan berkemungkinan akan mematuhi piawai emisi terbaharu dengan ciri-ciri menarik lain mungkin dikekalkan antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), tuil brek/klac boleh laras dan tangki bahan api yang besar.
Penambahbaikkan yang boleh dijangkakan pula adalah penggunaan panel meter jenis digital penuh menggantikan sistem sedia ada iaitu analog+digital.
Sebagai info, model terkini SYM VF3i dipadankan dengan enjin 183 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, SOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 19.7 Hp pada 9,000 rpm dan tork 17.4 Nm pada 7,500 rpm.
Sedikit trivia, SYM VF3i ketika pelancarannya mencipta sejarah dengan menjadi kapcai bersesaran enjin paling besar di dunia.
Setakat ini, pihak MForce masih 'mengunci mulut' tetapi ia jelas satu perkembangan yang menarik.




