GENERASI Ketiga Honda X-ADV Sedang Dibangunkan, Rekaan Bakal Berubah, Lagi Garang?

TULAR

8/22/20231 min read

SELEPAS debut perdana pada 2017 di pameran EICMA, Itali, skuter bergaya 'Adventure' Honda X-ADV 750 terus mencipta sensasi hingga berjaya menjadi salah satu model skuter 'aras tinggi' paling laris di pasaran global, termasuk Malaysia.

Mendapat kemas kini terbaharu beberapa pada 2021, generasi terbaharu Honda X-ADV 750 itu sudah pun berada di pasaran dan permintaannya dikatakan cukup hangat hingga pihak Honda Big Wing Malaysia 'pening'.

Tampil dengan rekaan dan spesifikasi yang dikatakan 'tak konvensional' skuter, Honda X-ADV 750 pantas menjadi ikutan dan kejayaan itu dituruti 'adik-adiknya', Honda ADV 150/160 dan Honda ADV 350 serta beberapa jenama lain.

Dan meskipun baru beberapa tahun diberikan kemas kini yang boleh dikatakan komprehensif, timbul perkembangan mengujakan membabitkan skuter 'viral' itu, baru-baru ini.

Berdasarkan laporan media automotif luar negara, Honda dikatakan sedang membangunkan generasi terbaharu Honda X-ADV. Perkembangan itu dikuatkan dengan permohonan paten yang difailkan di Jepun.

Daripada imej fail paten yang terdedah itu, dapat dilihat Honda X-ADV 750 yang katanya generasi terbaharu itu akan mendapat kemas kini daripada sudut rekaan.

Perubahannya itu katanya fokus kepada bahagian depan dan belakang, dengan rekaan lampu utama turut dijangka mengalami perubahan yang agak drastik.

Berpandukan kepada rekaan sedia ada, lampu Honda X-ADV diposisikan secara memanjang di bahagian sisi namun berdasarkan fail petn itu, ia akan dipindhkan ke bahagian lebih bawah secara melintang.

Dan menariknya, ada tiga lampu jenis LED mengisi ruang lampu berkenaan dengan kedudukan lampu siang (DRL) turut berubah. Di bahagian belakang, ekzos skuter berkenaan dilihat akan diposisikan di bahagian tempat duduk belakang berbanding di bahagian sisi pada model sedia ada.

Perubahan kedudukan ekzos itu dikatakan akan dapat memperbaiki jarak lega bumi motosikal berkenaan selain memuatkan ‘catalytic converter’ baharu yang mamatuhi piawaian emsisi semasa.

Dan berikutan kedudukan baharu ekzos itu, ia dijangka akan memudahkan pemasangan ‘panniers’ atau kotak penyimpan barangan sisi.

Selaras dengan perubahan rekaan, Honda X-ADV 750 generasi baharu ini dijangka akan menggunakan panel meter TFT berwarna yang lebih canggih mengikuti peredaran semasa.

Setakat ini, Honda seperti biasa masih 'mengunci' mulut namun berdasarkan situasi semasa, ia berkemungkinan tidak akan dilancarkan dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan tahun depan. Jadi, nikmati Honda X-ADV 750 sedia ada adalah pilihan lebih baik daripada menunggu.