'GERAKAN' Rossi 2009 Jadi Inspirasi Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu memperoleh minggu yang cukup mengujakan di Catalunya apabila menjuarai dua daripada tiga perlumbaan yang ditawarkan di Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 itu.

Selepas memenangi Perlumbaan 1 WorldSBK pada Sabtu, pelumba pasukan ROKIT BMW Motorrad WorldSBK itu mengulangi keputusan sama pada Perlumbaan Superpole pada Ahad.

Dan sekalipun tidak memenangi Perlumbaan 2 yang ditakluk pelumba Ducati, Alvaro Bautista, menaiki podium di kedudukan ketiga masih boleh dibanggakan.

Mengulas prestasinya di Barcelona, pelumba kelahiran Turki itu mengakui kemenangan Superpole sebagai istimewa dan menjadi salah satu daripada tiga kemenangan terbaik sepanjang kariernya di WorldSBK.

Terlepas kedudukan pendahulu kepada Bautista, Razgatlioglu menunggu sehingga selekoh terakhir perlumbaan untuk memintas juara dunia dua kali WorldSBK itu - mengulangi apa yang legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi lakukan kepada Jorge Lorenzi pada 2009.

"Saya hanya berfikir mengenai selekoh terakhir dan apa yang Valentino Rossi lakukan beberapa tahun lalu, jadi saya berfikir 'Mengapa tidak sekarang?' Dan saya cukup hampir," kata bekas pelumba Yamaha itu.

"Saya menggunakan gera dua pada selekoh terakhir, mengambil garisan perlumbaan dan rancangannya adalah sempurna.

"Pecutan tidak begitu buruk dan saya berjaya menang sekali lagi. Saya tidak terkejut, saya hanya berfikir mengenai selekoh terakhir. Jika saya tidak mencubanya, saya akan amat marah.

"Saya perlu melihat jika ia berhasil atau tidak! Ia adalah rancangan yang baik. Saya menggunakan gear dua untuk pecutan kerana mungkin pada gear tiga, ia tidak memecut dengan baik.

"Perlumbaan Superpole ini dan terutama sekali selekoh terakhir memberikan saya memori yang baik! Mungkin salah satu kemenangan terbaik saya," katanya.