'GERGASI' Petroleum Seberang, Pertamina 'Sedang Bincang' Jadi Penaja VR46 MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/30/20231 min read

SYARIKAT petroleum gergasi Indonesia, Pertamina dilaporkan 'sedang dalam perbincangan' untuk menggantikan Mooney sebagai penaja utama pasukan MotoGP milik Valentino Rossi, VR46.

Seperti Petronas, Pertamina cukup aktif dalam hal membabitkan penajaan dalam saingan perlumbaan dua roda dan menjadi penaja rasmi Grand Prix MotoGP Indonesia dan pasukan Moto2, SAG.

Projek MotoGP VR46 pada musim lalu dikhabarkan akan mendapat penajaan gergasi petroleum Arab Saudi, Aramco namun ia tidak menjadi kenyataan sebelum Monney dari Itali mengambil alih.

Dan pasukan itu sedang menyusun semula penajaannya bagi musim 2024 dan sekalipun eBay dikaitkan sedia menggantikan Mooney, Pertamina dikhabarkan turut mengadakan perbincangan dengan VR46.

"Ya, ada rancangan, ia benar (Menjadi penaja utama VR46, tetapi ia masih dalam perbincangan. Ia masih belum rasmi," kata Naib Presiden Pertamina Lubricants, Fadjar Djoko Santoso kepada Kompas.com.

VR46 yang menggunakan jentera Ducati mengharungi kempen yang cemerlang pada musim ini dan turut merangkul kemenangan pertama pasukan itu dalam MotoGP bersama pelumbanya, Marco Bezzecchi.

Selepas merangkul dua kemenangan pada musim ini dan beberapa podium, pelumba kelahiran Itali itu turut dicanang menjadi pencabar utama kejuaraan dan menghuni tangga ketiga pemburuan kejuaraan dunia musim ini.

Selain Bezzecchi, turut berlumba bersama pasukan VR46 adalah adik kepada Rossi, Luca Marini yang ketika ini menghuni tangga keenam keseluruhan dan merangkul tempat kedua di COTA.

Sekalipun belum menandatangani pelumba baharu bagi musim 2024, VR46 dijangka akan mengekalkan Marini dan Bezzecchi dan turut menggunakan jentera 'lama' Ducati bagi musim depan.