GGR Motor Terima Lawatan JPJ Wilayah Persekutuan

Lawatan kerja itu menurut GGR Motor menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan

TERKINI

9/6/20252 min read

USAHA GGR Motor untuk menjadi pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama Malaysia terus mendapat sokongan termasuk daripada agensi utama kerajaan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan (WP).

Seramai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang mengadakan lawatan kerja ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada Khamis lalu.

Pendekatan itu diambil bertujuan mendedahkan agensi berkenaan secara lebih dekat dengan proses pemasangan motosikal EV disamping meninjau operasi kilang GGR Motor.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

“Ini adalah lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami dan diharap kerjasama ini dapat melancarkan urusan prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran motosikal EV mengikut undang-undang ditetapkan.

"Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kesudian pihak JPJ WP meluangkan masa melawat kilang kami. Ia ibarat penghargaan terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV di Malaysia,” katanya.

Kunjungan Eric Jusiang bersama anggotanya disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Muhammad Mussaddiq.

Menerusi sesi itu, pegawai dan anggota JPJ diberi taklimat operasi selain meninjau secara langsung proses pemasangan serta pengeluaran GGR Motor selain melawat fasiliti jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi syarikat yang dibangunkan bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik.

Dalam perkembangan berkaitan, Mussaddiq berkata, geran serta nombor pendaftaran motosikal EV jenama Lion G1 keluaran GGR Motor boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

“Kita jangkakan dalam tempoh terdekat, motosikal EV yang ditempah sudah boleh didaftarkan. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” katanya.

Lion G1 menjadi model sulung GGR Motor yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan dan direka khusus bagi pasaran Malaysia dengan penekanan terhadap kos mampu milik serta mesra alam.

Kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Sungai Penchala sebelum ini dilancarkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.

Industri EV negara turut menerima sokongan kerajaan melalui pelbagai insentif dan dasar, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pengeluar tempatan seperti GGR Motor untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran.

Sebelum ini, GGR Motor menyasarkan pengeluaran sehingga 30,000 unit motosikal EV menjelang akhir 2025, selari dengan pertumbuhan permintaan terhadap mobiliti elektrik di Malaysia.

Sambutan luar biasa terhadap model sulung, Lion G1, yang mencatat lebih 2,500 unit tempahan dalam masa seminggu selepas pelancaran menjadi petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia semakin menerima EV sebagai alternatif mobiliti harian.

Musaddiq berkata, permintaan ini membuktikan motosikal elektrik buatan tempatan mampu bersaing, dengan kualiti tinggi pada harga mampu milik.

Dan bagi memenuhi permintaan, GGR Motor bakal membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung, di atas tapak seluas lebih satu ekar, yang akan menjadi hab pengeluaran utama bagi model Lion G1 serta beberapa model baharu akan datang.

"Kilang ini dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu, khusus dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.

"Usaha ini turut diperkuatkan melalui kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan," katanya.