GIGI Dall’Igna Buka Mulut Insiden Pecco, Alex

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/5/20241 min read

SELAIN kemenangan Marc Marquez, antara perkara yang mendapat perhatian ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Aragon minggu lalu adalah insiden membabitkan Francesco Bagnaia dan Alex Marquez dengan situasi itu jelas memeningkan kepada bos Ducati Corse, Gigi Dall’Igna.

Dalam usaha merebut kedudukan terakhir di podium, pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo, Pecco dan pasukan satelit, Gresini Ducati Alex berdepan kemalangan yang menyaksikan kedua-duanya tersingkir daripada perlumbaan.

Saling menyalahkan satu sama lain, begitupun berdasarkan dapatan Steward MotoGP FIM, insiden itu dilihat sebagai kemalangan perlumbaan dengan tiada pelumba dikenakan hukuman.

Tampak cukup kecewa ketika insiden itu disiarkan, Dall’Igna akhirnya membuka mulutnya mengenai situasi tidak diingini itu.

"Sesuatu yang benar-benar menyedihkan untuk kehilangan mata yang penting dan lebih menyakitkan adalah cara ia berlaku," kata Dall’Igna memetik laporan Crash.net.

"Juga kerana, ia terjadi selepas perubahan yang dibuat sepanjang minggu yang menyaksikan Pecco dan pasukannya berterusan bekerja keras dan di ambang untuk mendapatkan kembali podium dengan semangatnya yang tidak pernah mengalah, selepas mengharungi permulaan yang sukar sekali lagi di garisan permulaan.

"Kemalangan dengan Alex Marquez kemudian memaksanya untuk menamatkan perlumbaan.

"Satu muka surat untuk diselak dan dilupakan secepat yang mungkin. Kami memasuki tempoh yang mustahak dalam kempen penuh mencabar ini, di mana kami perlu mengekalkan tahap positif dan fokus.

"Kami kini ke Misano dan menjangkakan kesemua penyokong kami mengibarkan bendera Ducati!"

Insiden di Aragon menyaksikan Bagnaia ketinggalan semakin jauh di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati yang kini memiliki kelebihan 23 mata di puncak carta.