BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menggambarkan musim yang diperoleh juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin sebagai 'hampir sempurna'.
Martin dari Pramac Ducati menamatkan cabaran pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia pada perlumbaan terakhir MotoGP musim ini sekalipun sekadar mengisi tempat ketiga di Catalunya.
Sekalipun jumlah kemenangan yang dimilikinya musim ini kurang berbanding Bagnaia, pelumba kelahiran Sepanyol itu tampil cukup konsisten khususnya untuk mengisi kedudukan podium.
"Seperti yang kita dapat lihat di atas kertas, Jorge melakukan kerja yang menakjubkan untuk merangkul gelaran selepas musim yang boleh dikatakan sebagai hampur sempurna," kata Dall’Igna.
"Saya mahu mengucapkan tahniah kepadanya dan berterima kasih kepada kerana membawa Desmosedici GP meraih sasaran utama sekali lagi."
Mengulas mengenai kekalahan Bagnaia, Dall’Igna menyifatkannya sebagai lumrah perlumbaan.
"Angka yang diperoleh Pecco menakjubkan pada tahun ini dan bakatnya tidak boleh dipersoalkan. Malangnya, kadang kala perkara tidak berjalan seperti yang kita mahukan, dan keputusan tidak tercapai, tetapi inilah keindahan dunia perlumbaan."
Ducati seperti diketahui tidak menggunakan khidmat Martin musim depan serta seorang lagi pelumbanya di Ducati Lenovo, Enea Bastianini.
"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Enea selama dua musim bersama kami, dan saya gembira dia dapat menampilkan potensinya sekali lagi, selepas apa yang boleh dikatakan 2024 yang tidak mudah," katanya.
Pengeluar Itali itu akan meletakkan sandaran kepada Bagnaia dan juara dunia lapan kali, Marc Marquez bagi memacu pasukan itu pada musim 2025.