GILIRAN Alex Marquez Dapat Jentera 'Kilang' Ducati

Perkembangan itu diperoleh sebagai pengiktirafan terhadap prestasi Alex Marquez pada musim ini yang menyaksikannya muncul pencabar utama kepada abangnya, Marc Marquez sekalipun berlumba bersama pasukan satelit dan menggunakan jentera Ducati GP24

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/19/20251 min read

PELUMBA Gresini Ducati, Alex Marquez bakal menerima jentera Ducati spesifikasi terkini atau berstatus 'kilang' bagi mengharungi musim MotoGP 2026.

Perkembangan itu diperoleh sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlangnya pada musim ini yang menyaksikannya muncul pencabar utama kepada abangnya, Marc Marquez sekalipun berlumba bersama pasukan satelit dan menggunakan jentera Ducati GP24.

Keputusan itu meletakkan Alex menyertai Marc dan Francesco Bagnaia di pasukan utama Ducati Lenovo serta pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio, yang menggunakan jentera Desmosedici generasi terbaharu.

Tidak seperti musim ini, pengeluar dari Itali itu dijadual kembali membariskan empat jentera spesifikasi terkini di grid MotoGP pada 2026 menjelang perubahan peraturan teknikal besar-besaran pada 2027.

Menurut laporan portal Motorsport.com, pengurusan tertinggi Ducati memaklumkan keputusan itu kepada semua pihak berkepentingan Ahad lalu di Litar Misano.

Peluang itu terbuka untuk Alex selepas pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, iaitu VR46 Ducati, menolak pilihan menggunakan dua jentera spek kilang pada 2026.

Sebelum ini, Ducati dilaporkan mempertimbangkan secara serius untuk menyenaraikan prototaip Ducati GP26 kepada keenam-enam pelumbanya pada musim depan tetapi prestasi kompetitif yang ditunjukkan oleh Marc berjaya menghapuskan keraguan pengeluar Itali itu.

Keputusan ini bagaimanapun memberi kesan kepada pelumba rookie, Fermin Aldeguer, yang menyertai Ducati dengan perjanjian untuk menerima jentera spesifikasi kilang pada musim keduanya.

Meskipun janji itu tidak dapat ditunaikan, Ducati dilaporkan menawarkan beberapa siri konsesi bagi memberi manfaat kepada karier jangka panjang pelumba kelahiran Sepanyol itu.

Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, yang bertanggungjawab membawa masuk Aldeguer, dilaporkan gembira dengan prestasi pelumba muda itu dan menyokongnya sebagai sebahagian daripada projek jangka panjang Ducati.

Alex sebelum ini telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Gresini tahun lalu untuk tempoh dua tahun sehingga musim 2026.