GILIRAN Ducati Kena 'Tembak' Dengan Stoner!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/20/20231 min read

BERGELAR juara dunia bersama Ducati tidak menghalang legenda MotoGP Australia, Casey Stoner daripada mendedahkan situasi 'kurang enak' yang terjadi kepadanya bersama pengeluar Itali itu.

Menurut Stoner yang menjulang gelaran dunia MotoGP bersama Ducati pada 2007, dia percaya pengeluar itu hanya mahukannya untuk mengisi kekosongan sebelum pasukan itu mendapatkan pelumba lain bagi musim berikutnya.

Dan pelumba yang dikatakan adalah pelumba Itali, Marco Melandri yang kemudian menyertai pasukan itu pada musim 2008.

"Kami tahu yang saya hanya mengisi kekosongan kerana mereka (Ducati) cuba mendapatkan Marco Melandri tetapi dia hanya boleh datang pada 2008 berikutan kontrak," katanya.

"Saya bukan pilihan utama. Mereka memang tiada perancangan untuk mengekalkan saya. Mereka berpura-pura ia adalah besar, perkara yang indah!

"Tetapi realitinya saya hanyalah pengisi tempat kosong. Marco akan datang. Dan ia adalah pasukan Itali idaman.

"Kemudian, saya memenangi kejuaraan," katanya.

Melandri kemudian menyertai pasukan Ducati pada musim 2008 tetapi menamatkan kempen di tangga ke-17 sebelum memohon untuk meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim.

Stoner dalam pada itu kekal bersama Ducati sehingga musim 2010 sebelum menyertai Honda pada 2011 dan menjuarai gelaran dunia MotoGP kedua kariernya bersama pasukan itu.