GILIRAN Honda HRC Dedah Jentera 850 cc MotoGP, Pandangan Takaaki Nakagami!
Honda membangunkan jentera baharu khusus bagi memenuhi spesifikasi rombakan peraturan teknikal MotoGP 2027 dan ia ditunggang uji buat julung kalinya oleh pelumba uji rasmi kilang, Takaaki Nakagami di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia pada Disember lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/12/20261 min read


SELEPAS KTM mencuri tumpuan pada awal Disember lalu, kini tiba giliran gergasi Jepun, Honda Racing Corporation (HRC) mendedahkan rakaman rasmi pertama jentera MotoGP prototaip 850 cc pengeluar Jepun itu sedang beraksi di litar.
Jentera yang dibangunkan khusus bagi memenuhi spesifikasi rombakan peraturan teknikal MotoGP 2027 itu ditunggang uji buat julung kalinya oleh pelumba uji rasmi kilang, Takaaki Nakagami di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia pada Disember lalu.
Bagaimanapun, segala perincian mengenai jentera itu masih dirahsiakan oleh pihak Honda sehinggalah video itu didedahkan kepada umum.
Menerusi klip video berkenaan, Nakagami dilihat mengemudi jentera tersebut meredah keadaan litar yang basah akibat hujan. Video itu bukan sahaja menayangkan aksi di litar, malah turut memperdengarkan deruman garang enjin baharu tersebut di laluan lurus litar Sepang.
Berkongsi pandangan pertamanya selepas turun dari jentera berkenaan, Nakagami jelas teruja dengan potensi yang ditunjukkan.
"Tanggapan pertama saya adalah ia 'sangat ringan'. Saya agak terkejut, terutamanya ketika menunggang dalam keadaan (litar basah) sebegini. Ya, ia sangat bagus," kata pelumba kelahiran Jepun itu.
Sebagai rekod, bermula musim 2027, Kejuaraan Motosikal Dunia akan melalui fasa evolusi teknikal yang drastik.
Selain pengurangan kapasiti enjin daripada 1000 cc kepada 850 cc, peraturan baharu itu turut mengharamkan sepenuhnya penggunaan peranti pelaras ketinggian dan mengehadkan saiz komponen aerodinamik.
Lebih signifikan, saingan kelas perdana itu juga bakal menyaksikan peralihan pembekal tayar rasmi daripada Michelin kepada Pirelli.
Sementara Honda dan KTM sudah mula menayangkan 'senjata' baharu mereka, pengeluar lain turut tidak duduk diam. Yamaha dikhabarkan sudah mula melakukan beberapa ujian awal secara tertutup, manakala Ducati dan Aprilia meletakkan sasaran untuk membuat penampilan sulung jentera 850cc mereka pada pertengahan tahun ini.

