GILIRAN LCR Honda Tayang 'Liveri' MotoGP 2024, Paling 'Ngam' Musim Ini?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/15/20241 min read

PASUKAN satelit Honda di MotoGP, LCR Honda mendedahkan 'Liveri' pasukan itu bagi kempen 2024 yang dikemudi dua pelumba, Takaaki Nakagami dan Johann Zarco.

Tidak seperti pasukan lain, kedua-dua jentera LCR Honda tampil dengan penaja utama berbeza dengan Nakagami bersama Idemitsu LCR Honda manakala Zarco Castrol LCR Honda.

Bagi Nakagami, ia adalah penampilan tahun ke-7 pelumba berusia 32 tahun itu bersama Idemitsu LCR Honda dengan pencapaian terbaik adalah di kedudukan ke-10 keseluruhan pada musim 2020.

Tahun lalu, pelumba yang memakai nombor 30 itu menduduki tangga ke-18 keseluruhan selepas mengutip 56 mata dengan Honda menduduki kedudukan tercorot keseluruhan kategori pengeluar.

Menariknya, dia menjadi satu-satunya pelumba dari Honda yang tidak mengalami kecederaan musim lalu dan turut memuji prestasi jentera Honda bagi musim 2024.

Bagi Zarco, ini adalah penampilan semulanya bersama LCR Honda selepas pernah bersama pasukan itu dalam tempoh singkat pada 2019 susulan perpisahannya dengan KTM.

Kehadiran Zarco adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alex Rins yang bertindak menyertai Yamaha musim ini.

Zarco menyertai HRC dengan kontrak selama dua tahun dan menyertai senarai pendek pelumba yang turut memiliki kontrak sehingga 2025 iaitu Luca Marini (Repsol Honda) dan Brad Binder (Red Bull KTM).

Bekas pelumba Pramac Ducati itu meraih kemenangan pertamanya di MotoGP musim lalu selepas merangkul 19 kedudukan podium di GP Australia dan menamatkan kempen di kedudukan kelima keseluruhan.

Zarco ketika sesi ujian rasmi pra-musim MotoGP di Sepang minggu lalu mengakui jentera baharu Honda RC213V 2024 mempunyai peluang untuk mencabar kedudukan podium.

Sesi ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 akan berlangsung di Qatar pada 19 dan 20 Februari ini.