GILIRAN Pedro Acosta 'Bidas' MotoGP

Pihak pengurusan MotoGP menurut laporan media antarabangsa didedahkan akan mula mengenakan denda sebanyak €5,000 (kira-kira RM 23,300) kepada pelumba yang gagal menghadirkan diri pada acara PR MotoGP sepanjang minggu perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/12/20261 min read

PELUMBA sensasi KTM, Pedro Acosta memberi amaran kepada penganjur MotoGP supaya lebih menghormati pelumba berikutan pengenalan denda baharu terhadap barisan pelumba kerana tidak menghadiri acara promosi (PR).

Berdasarkan laporan Motorsports ketika Grand Prix (GP) Indonesia, pihak pengurusan MotoGP mendedahkan akan mula mengenakan denda sebanyak €5,000 (kira-kira RM 23,300) kepada pelumba yang gagal menghadirkan diri pada acara PR sepanjang minggu perlumbaan.

Tindakan itu diambil susulan kebimbangan penganjur selepas mendapati pelumba mula tidak menghadiri acara bertemu peminat, dengan isu terbabit memuncak di GP Jepun apabila Marc Marquez menolak untuk menyertai perlumbaan go-kart sebelum aksi sebenar bermula.

Selain denda kewangan, barisan pelumba turut diberi amaran hukuman membabitkan penalti boleh dikenakan ke atas pesalah berulang, walaupun butiran terperinci mengenai bentuk hukuman itu masih belum dijelaskan.

Susulan pengenalan peraturan baharu itu, Marquez secara terbuka mengkritik tindakan berkenaan pada Ahad lalu di Mandalika, dengan Acosta turut senada dan menyokong penuh pandangan juara dunia 9 kali itu.

"Saya sama sekali tidak bersetuju (dengan peraturan ini). Anda tidak boleh memaksa seorang pelumba melakukan sesuatu tanpa mengambil kira situasi sebenar yang sedang dihadapi mereka, yang mungkin tidak diketahui oleh pihak penganjur," kata Acosta.

Pelumba Sepanyol itu mengambil contoh situasi pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez di Mandalika yang terpaksa bergelut dengan kecederaan patah tulang jari, dan pelumba itu sepatutnya diberi ruang merawat kecederaan memandangkan jari itu akan digunakan untuk membrek jentera.

Kata Acosta, jika seseorang pelumba itu menahan kesakitan dan tiba-tiba gagal membrek dengan baik di litar akibat dipaksa membuang masa di acara PR, ia berisiko mengundang padah serta mencetuskan insiden kemalangan yang jauh lebih besar.

"Disebabkan hal seperti ini, saya faham mengapa kami tidak dapat hadir ke acara sedemikian pada kebanyakan masa. Pihak penganjur sepatutnya bertolak ansur, memberi sedikit ruang kepada kami dan saya sokong penuh tindakan Marc di Jepun," katanya.