GILIRAN Qabil Irfan 'Terbang' Ke Sepanyol

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/31/20251 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan akhirnya berlepas ke Sepanyol bagi menghadapi pusingan pembukaan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 yang dijadual berlangsung di Litar Jerez, minggu ini.

Pelumba berusia 13 tahun itu sebelum ini sepatutnya 'terbang' lebih awal ke Sepanyol bagi menghadapi sesi ujian pra-musim di litar sama tetapi ia dibatalkan susulan bencana banjir yang melanda Jerez.

Perkembangan itu begitupun boleh dikatakan sebagai rahmat buat pelumba kelahiran Terengganu itu yang berpeluang menyambut Lebaran di tanah air sebelum berangkat.

Tidak seperti pada penampilan sulungnya di ESBK musim lalu di mana Qabil beraksi dalam kelas Moto4, juara dunia FIM MiniGP pada musim 2023 itu akan berlumba dalam kelas baharu iaitu ESBK Talent Cup yang dikatakan lebih mencabar.

Begitupun, pasukan yang disertainya adalah sama Frando Racing VHC Team Liqui Moly dengan jentera yang lebih berkuasa.

Sebagai info, Qabil pada kempen Moto4 musim lalu berjaya meraih satu kemenangan iaitu di Litar Catalunya dan menutup kempen di kedudukan ke-4 keseluruhan selepas mengumpul 181 mata.

Tidak seperti pelumba-pelumba yang berpangkalan di Eropah, Qabil pada musim lalu terpaksa berulang alik dari Malaysia ke Eropah bagi menjalani latihan dan perlumbaan.

Selain Qabil, seorang lagi pelumba negara, Hakim Danish Ramli sudah pun berada di Sepanyol lebih awal bagi menjalani latihan menjelang musim baharu Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025.

Tidak seperti Hakim Danish yang berlepas bersendirian ke Eropah, Qabil Irfan akan ditemani bapanya, Azlan Abd Rahman dan Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.