GILIRAN Suzuki GSX-8R Dilancar Tahun 2024? Geng 'Sportbike' Dah Boleh Senyum!

TERKINI

9/13/20231 min read

SUZUKI ketika ini dikatakan sedang menyiapkan jentera 'Sportbike' terbaharu jenama itu yang dipadankan dengan trenkuasa serupa Suzuki V-Strom 800DE dan GSX-8S dan diberi nama Suzuki GSX-8R.

Apa yang menarik, ia bukan sekadar khabar angin selepas dokumen pendaftaran homologasi membabitkan model berkenaan tertiris di Eropah.

Begitupun, setakat ini, tiada sebarang imej membabitkan motosikal berkenaan berjaya diperoleh yang membuktikan Suzuki memang pandai berahsia, kepakaran yang memang dimiliki syarikat-syarikat pengeluar motosikal dari Jepun.

Tetapi apa yang menguatkan ia adalah sebuah model 'Sportbike' adalah berdasarkan dokumen pendaftaran itu, Suzuki GSX-8R menggunakan kod GSX800 (8R). Ia berbeza dengan Suzuki GSX-8S yang hanya menggunakan kod GSX800.

Dan lebih menguatkan lagi ia model 'Sportbike' adalah berdasarkan dokumen yang tertiris, Suzuki GSX-8R memiliki kelajuan maksimum lebih tinggi, 215 km/j berbanding 210 km/j untuk Suzuki GSX-8S.

Mengulas trenkuasa, Suzuki GSX-R akan menjadi model ketiga yang dipadankan dengan trenkuasa serba baharu jenama dari Hamamatsu Jepun itu, enjin 776 cc, Parallel-twin yang berupaya menghasilkan kuasa sekitar 82 Hp dan tork 78 Nm.

Sebagai motosikal dalam segmen 'Sportbike', Suzuki GSX-8R yang dijangka menggunakan kerangka, sistem suspensi dan brek yang sama dengan GSX-8S berkemungkinan diberikan talaan berbeza dan lebih berkuasa berbanding dua kembarnya.

Begitupun, Suzuki GSX-8R dijangka lebih berat berbanding 8S berikutan rekaannya (fairing penuh).

Bakal menyertai segmen yang juga padat seperti 8S, 8R dijangkakan akan membuat penampilan awal atau pertamanya ketika acara berprestij Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2023 yang dijadual pada November.