GILIRAN Vietnam Dapat 'Kapcai ADV' Yamaha PG-1 (2024), RM 5.8k!

TERKINI

12/7/20231 min read

TAK menunggu lama, motosikal 'Kapcai' yang diposisikan dalam segmen 'Adventure' gaya hidup, Yamaha PG-1 (2024) dilancarkan di satu lagi pasaran Asia Tenggara, Vietnam.

Kehadiran Yamaha PG-1 (2024) di Vietnam cukup pantas, hanya beberapa hari selepas kemunculan globalnya di pasaran Thailand.

Tidak seperti di Thailand yang harga jualannya cukup 'menyeramkan', Yamaha Motor Vietnam meletakkan tanda harga menarik untuk Yamaha PG-1 (2024) di negara itu iaitu 30,437,000 VND (RM 5,849).

Dan pilihan warna yang diperkenalkan untuk model yang dilancarkan dalam majlis yang cukup gah itu juga 'meriah' iaitu Biru, Kuning, Jingga, Coklat, Hijau dan Hitam.

Seperti pernah MotoDotMy laporkan sebelum ini, Yamaha PG-1 (2024) tampil dengan rekaan mirip Honda CT125 - tiada 'fairing' - dan diselitkan dengan unsur retro menerusi penggunaan lampu depan dan belakang berbentuk bulat.

Sebagai motosikal yang boleh ditunggang mengharungi laluan lasak, Yamaha PG-1 (2024) dibekalkan dengan fork teleskopik dengan jarak 'travel' 130 mm yang lengkap dengan pelindung dan penyerap hentak kembar dengan jarak 'travel' 109 mm.

Selain itu, Yamaha PG-1 (2024) memiliki jarak lega bumi yang tinggi 190 mm, posisi ekzos yang tinggi dan bar hendal yang tinggi dan lebar.

Bagi meningkatkan lagi penampilannya sebagai motosikal 'scrambler retro', ia turut dipadankan dengan panel meter berbentuk bulat dan pelana jenis terpisah untuk penunggang dan pembonceng.

Di bahagian trenkuasa, Yamaha PG-1 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 114 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Udara, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah 8.9 Hp pada 7,000rpm dengan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

Sistem brek menggunakan brek cakera tunggal (depan) dan dram (belakang) dengan set roda 90/100-16 (depan) dan 90/100-16 (belakang) dengan rim jenis 'spoke' atau jejari.

Informasi lain adalah seperti berat 107 km (wet) dan kapasiti tangki bahan api 5.1 liter.