GILIRAN Voge Sertai 'Perang Skuter', Voge SR250 GT Bakal Gegar Pasaran

Voge SR250 GT akan menjadi model skuter pertama daripada Voge di pasaran tempatan selain model keempat jenama itu mengikuti kehadiran Voge DS900X (adventure touring), Voge CU525 (kruiser) dan Voge FR150 Formica Rossa (supermoped) lebih awal

TERKINI

10/14/20251 min read

PASARAN skuter maxi tempatan bakal menyaksikan kemunculan pemain baharu menerusi jenama Voge dengan jagoan yang bakal dilancarkan - katanya pada hujung minggu ini - adalah Voge SR250 GT (2025).

Apa yang menarik, perkembangan itu bukan sekadar khabar angin malah sudah 'didendangkan' beberapa pemain media automotif utama tanah air selain kami dan ia dikuatkan lagi apabila para pengedar MForce Bike dilihat sudah melakukan hebahan mengenainya.

Dan jika maklumat ini benar, Voge SR250 GT akan menjadi model skuter pertama daripada Voge di pasaran tempatan selain model keempat jenama itu mengikuti kehadiran Voge DS900X (adventure touring), Voge CU525 (kruiser) dan Voge FR150 Formica Rossa (supermoped) lebih awal.

Kehadiran Voge SR250 GT jelas sesuatu yang mengujakan. Apa tidaknya, kepada yang tidak tahu, Voge adalah pengeluar yang diberikan tanggungjawab untuk menghasilkan dan menjalankan kerjasama dengan pengeluar Jerman, BMW Motorrad.

Malah, syarikat berpangkalan di Chongqing, China itu bukan saja diberi kepercayaan untuk memasang beberapa model motosikal dan skuter BMW Motorrad, malah membangunkan enjin untuk pengeluar gergasi Jerman itu.

Ia sekali gus membuktikan tahap kualiti yang dimiliki jenama ini dengan model-model skuter daripada BMW Motorrad turut dipasangan di fasaliti yang sama.

Berbalik kepada Voge SR250 GT, antara ciri menarik termasuk lampu LED penuh, kamera dashcam hadapan, panel meter TFT berwarna bersaiz 7 inci, sistem tanpa kunci (keyless), kawalan cengkaman (TCS), pemanas grip dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Trenkuasa dipacu enjin 244.3 cc, 1 Silinder, 4 Injap dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah pada angka 25.5 Hp @ 8,250 rpm dan tork 23 Nm @ 6,500 rpm.

Tidak diketahui kebenarannya, tetapi ada pihak pengedar MForce Bike berani mendedahkan harga jualannya dan menariknya, di bawah RM 19,000.