GP Argentina Keluar Daripada Kalendar MotoGP 2024, Tiada Vanue Ganti!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/1/20241 min read

TIADA perlumbaan Grand Prix (GP) Argentina bagi musim 2024, umum penganjur dan pengelola perlumbaan elit itu FIM, IRTA dan Dorna Sports dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

"FIM, IRTA dan Dorna Sports mengesahkan pembatalan GP Argentina 2024.

"Berikutan situasi semasa di Argentina, penganjur acara itu memaklumkan bahawa ia pada masa ini tidak dapat menjamin perkhidmatan yang diperlukan untuk Grand Prix berlangsung pada 2024 mengikut standard MotoGP.

"Acara ini tidak akan digantikan pada kalendar 2024. MotoGP berharap untuk kepulangan semua perlumbaan di Termas de Rio Hondo pada 2025."

Berdasarkan kalendar, GP Argentina 2024 dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 April 2024.

Ia menjadi perlumbaan pusingan ketiga kejuaraan berkenaan dengan keputusan itu menyaksikan hanya 21 pusingan berlangsung pada tahun ini.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, keputusan pembatalan perlumbaan MotoGP itu diambil susulan tindakan kerajaan baharu Argentina yang mahu mengurangkan kos.

MotoGP kembali ke Argentina pada 2014 selepas 15 tahun tidak berlangsung di negara Amerika Selatan itu dengan pengenalan litar Termas de Rio Hondo.

Ia kekal dalam kalendar MotoGP sehingga tahun lalu kecuali pada 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19.

Tahun lalu, pelumba VR46 Ducati, Marco Bezzecchi memenangi perlumbaan 'basah' di Argentina yang menjadi kemenangan pertama pelumba dan pasukan itu dalam kempen MotoGP.

Seramai 186,038 kehadiran penonton dicatatkan pada GP Argentina tahun lalu yang juga kehadiran keempat tertinggi bagi kempen 2023 di belakang Le Mans, Sachsenring dan Valencia.