MARC Marquez sekali lagi mengharungi kempen tanpa podium di Kejuaraan Motosikal Dunia selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Austria 2024 di kedudukan ke-4, semalam.
Tampak cukup berpeluang untuk mengisi kedudukan tiga teratas di Red Bull Ring, juara dunia lapan kali itu berdepan nasib malang apabila terjatuh pada Perlumbaan Sprint ketika menghuni tempat kedua.
Dan pelumba kelahiran Sepanyol itu sekali lagi ditimpa malang apabila berdepan masalah elektronik pada perlumbaan GP yang memaksanya tergelincir ke posisi ke-13 di awal perlumbaan.
Begitupun, pelumba pasukan Gresini Ducati itu sekali lagi menampilkan kebangkitan dan menamatkan perlumbaan di tempat k-4 dan menjadi pelumba terbaik menggunakan Ducati GP23.
Mengakui dia mempunyai kelajuan yang diharapkan untuk merangkul podium pada perlumbaan GP, Marquez mengakui aksi di Red Bull Ring adalah antara minggu terbaiknya musim ini sekalipun nasib jelas tidak memihaknya.
"Di Catalunya, kami menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat kedua dan GP di tempat ke-3, tetapi ia adalah minggu paling buruk bagi kami," kata Marquez memetik laporan Crash.net.
"Minggu ini adalah salah satu yang terbaik. Perasaan dengan jentera, kelajuan ketika sesi latihan, ketika kelayakan, ketika sesi pemanas badan.
"Tetapi kami tidak mendapat sebarang mata (Perlumbaan Sprint) dan ke-4 hari ini (semalam). Tetapi saya memang menikmati kelajuannya pada minggu ini di sini."
Keputusan di Austria menyaksikan Marquez kekal di kedudukan ke-4 carta pelumba namun ketinggalan 83 mata di belakang pendahulu, Francesco Bagnaia.