GP Austria 'Kelakar' buat Honda - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/21/20231 min read

PERIT untuk ditelan tetapi menurut jagoan Honda, Marc Marquez, mengutip mata pertamanya dalam perlumbaan utama dalam kempen MotoGP musim ini di Grand Prix (GP) Austria, semalam 'nampak seperti jenaka'.

Dalam aksi di Red Bull Ring itu, Marquez menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12. Dan ia adalah yang pertama selepas 10 pusingan selepas juara dunia lapan kali itu terlepas lima perlumbaan akibat kecederaan selain mengalami kemalangan dalam empat perlumbaan.

"Ya, ia nampak seperti jenaka tetapi itulah kebenarannya! Ini kali pertama saya menamatkan perlumbaan pada Ahad dalam pungutan mata pada musim ini," kata Marquez.

"Asasnya, ia mudah untuk difahami. Saya hanya perlu mengharungi perlumbaan ini dengan mental yang berbeza (tidak gopoh), sama seperti saya lakukan di Silverstone.

"Benar saya kemalangan di Silverstone, tetapi ia lebih kepada kemalangan ketika perlumbaan, bukan disebabkan menunggang melebihi kemampuan.

"Hari ini (semalam), saya hanya keluar berlumba dengan menggunakan tayar belakang jenis 'soft' dan sedikit demi sedikit saya memperoleh rentak saya. Saya memberi lebih tekanan pada pertengahan perlumbaan kerana perasaan saya baik.

"Tetapi pada akhirnya, seperti dijangka tayar saya hilang banyak cengkaman dengan banyak tetapi ia boleh difahami," katanya.

Sebelum Austria, Marquez hanya mengutip mata kejuaraan dalam perlumbaan 'Sprint' iaitu di Portimao (ke-3), Le Mans (ke-5) dan Mugello (ke-7).

Memulakan perlumbaan di petak ke-18, Marquez yang menamatkan aksi di kedudukan ke-12 adalah yang terbaik daripada empat pelumba Honda di atas litar namun ketinggalana 23 saat di belakang pemenang, Francesco Bagnaia (Ducati).

"Sudah pasti saya tidak gembira menamatkan perlumbaan 23 saat di belakang pemenang. Kami tidak boleh gembira dan ia bukan mentaliti saya. Tetapi pada akhirnya, kami perlu mengharungi perlumbaan ini dengan cara yang berbeza," kata Marquez yang pertama kali menggunakan 'Winglet' baharu Honda pada perlumbaan, musim ini.

Ketika ini, Marquez menghuni tangga ke-19 dalam carta pelumba selepas mengumpul keseluruhan 19 mata.

Sumber imej; FB Marc Márquez