GPX DZ3 (2024) Lancar Di Thailand, Pencabar Forza, XMax Dah Muncul, RM 12.2k!
TERKINI
7/30/20241 min read


SYARIKAT pengeluar motosikal Thailand, GPX, baru-baru ini melancarkan skuter maxi terbaharu jenama itu, GPX DZ3 (2024) yang dikatakan dihasilkan untuk berentap dengan Honda Forza 350 dan Yamaha XMax.
Untuk GPX DZ3 (2024), ia adalah model yang memiliki sesaran enjin paling besar buat jenama itu setakat ini dengan barisan pengeluarannya turut diisi model skuter 150 cc, cafe racer dan Sportbike.
Dua pilihan varian ditawarkan untuk GPX DZ3 (2024) dengan Standard dijual pada harga 94,800 baht (RM 12,228) manakala Sport dijual pada angka 99,800 baht (RM 12,863).
Begitupun menurut GPX, harga yang diumumkan itu adalah harga istimewa menerusi promosi pelancaran.
Jika berpandukan dari sudut rekaan, GPX DZ3 (2024) tampil dengan penampilan yang moden dan futuristik namun paling penting, setara dengan pencabarnya ketika ini.
Mengulas trenkuasa, GPX DZ3 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 278.2 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah 24.1 Hp pada 8,250 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,250 rpm.
Tetapi agak mengecewakan, tidak seperti model-model terbaharu yang sudah dilengkapi panel meter berwarna TFT, GPX DZ3 (2024) masih dipadankan dengan panel meter LCD.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang) manakala sistem henti dijana brek cakera tunggal (depan/belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Dan untuk varian Sport, ia turut memiliki teknologi Kawalan Traksi dengan suspensi belakang menggunakan jenama YSS lengkap 'sub-tank'.
Ciri-ciri menarik dan informasi lain GPX DZ3 (2024) adalah seperti penggunaan lampu jenis LED penuh, Kunci Pintar, tangki bahan api 10.1 liter dengan set roda 110/70-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang).
Seperti diketahui, GPX turut dijual di pasaran Malaysia tetapi sedikit mengecewakan, tiada penawaran dari model skuter tersedia ketika ini daripada syarikat berkenaan.










