GPX GTM250R (2024) Masuk Jepun, RM 18.4k, Terhad 150 Unit!

TERKINI

1/1/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Thailand, GPX, baru-baru ini memperkenalkan model edisi terhadnya GPX GTM250R (2024) di pasaran negara 'kelahiran' beberapa jenama motosikal terbesar dunia Jepun.

Terkenal dengan model-model bergaya 'Cafe racer', sebagai info GPX boleh dikatakan 'pemain' baharu dalam industri motosikal dengan penubuhannya adalah pada tahun 2007.

Berbalik kepada GPX GTM250R (2024) di pasaran Jepun, motosikal bergaya retro dan berfairing itu ditawarkan secara eksklusif dengan hanya 150 unit tersedia.

Harga jualan yang diumumkan adalah ¥ 566,500 (RM 18,487).

Dan motosikal berkenaan ditawarkan dalam tiga pilihan warna.

Di bahagian trenkuasa, GPX GTM250R (2024) yang dikatakan menggantikan model Gentleman Racer 200 dipadankan dengan enjin bersesaran 250 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi 6 kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan adalah 20.4 Hp pada 8,500 rpm dengan tork 19 Nm pada 7,000 rpm.

Untuk memikat pembeli, GPX GTM250R (2024) turut didatangkan dengan pelbagai komponen premium antaranya fork USD dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan, dan brek cakera berkembar (depan) yang kebiasaan hanya dipadankan dengan motosikal berkuasa tinggi.

Seperti biasa, brek yang dipadankan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Informasi menarik lain adalah seperti ketinggian pelana 800 mm, tangki bahan api 14 liter dan berat 148 kg.

Di Malaysia, GPX turut memasarkan beberapa modelnya dan antara yang popular termasuklah 'Sportbike' GPX Demon GR200R dan Legend 250 Twin.