GRACSHAW Perkenal Logo Baharu, Lancar 3 Model Terkini!

Penjenamaan semula itu menyasarkan GRACSHAW untuk menjadi sebagai peneraju trend dalam komuniti penunggang, khususnya dalam kalangan pengguna skuter yang semakin berkembang pesat di Malaysia

PELANCARAN

12/6/20251 min read

JENAMA pengeluar helmet terkemuka tempatan, GRACSHAW menjelang ulang tahun ke-20 pada 2026 bersedia untuk melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan identiti serba segar yang menampilkan pendekatan lebih bergaya, kontemporari dan berorientasikan gaya hidup.

Menurut syarikat itu, penjenamaan semula itu menyasarkan GRACSHAW untuk menjadi sebagai peneraju trend dalam komuniti penunggang, khususnya dalam kalangan pengguna skuter yang semakin berkembang pesat di Malaysia.

Identiti baharu GRACSHAW menampilkan logo yang diambil daripada huruf 'G', simbolik kepada pergerakan dan keyakinan tanpa berlebihan.

Ia disertai tagline baharu, 'Daripada Jalanan' yang mencerminkan inspirasi daripada budaya jalanan yang berani, ekspresif dan tidak apologetik.

Gabungan logo dan tagline itu membawa naratif bahawa helmet bukan sekadar perlindungan, tetapi medium ekspresi diri dan personaliti penunggang dan diterjemahkan melalui tiga tonggak jenama: gaya, sikap dan keaslian.

Selain logo baharu, GRACSHAW turut memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan iaitu:

  • GENNEX II (Open-Face) – RM 392

Direka untuk penunggang skuter maxi dan touring, GENNEX II menawarkan gaya matang dengan fungsi praktikal. Ia dilengkapi sistem buckle mikrometrik untuk penyepit lebih selamat dan mudah.

  • GLAIVE (Open-Face) – RM 478

Model bergaya moden ini menyasarkan penunggang bandar yang mahukan rekaan agresif dan lincah. Ia sesuai untuk skuter kompak dan boleh dipertingkat dengan pemasangan ducktail belakang bagi menambah kestabilan aerodinamik.

  • GLADEON (Full-Face) – RM 565

Dibangunkan untuk penunggang jarak jauh dan skuter berprestasi tinggi, GLADEON hadir dengan **KlearAF Anti-Fog Insert , memastikan penglihatan jelas dalam pelbagai cuaca. Setiap pembelian turut disertakan balaclava dan tear plugs GRACSHAW.

Ketiga-tiga model ini akan berada di pasaran mulai bulan ini.

Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan GRACSHAW, Chiong Sai Weng menjelaskan penjenamaan semula itu adalah bertujuan membina budaya tunggangan yang diinspirasikan oleh budaya jalanan yang turut menjadi akar kepada kewujudan GRACSHAW.

"Melalui identiti baharu ini, kami mahu mewujudkan gaya hidup yang dekat dengan penunggang tempatan serta meraikan kreativiti dan minat mereka.”

Sebagai rekod, GRACSHAW ditubuhkan pada 2006 sebagai pengeluar helmet berstatus SIRIM dan mula menonjol sebagai jenama berorientasikan reka bentuk pada 2013 melalui siri GRACSHAW Originals dan kolaborasi edisi terhad.