GRESINI Ducati MotoGP Dedah 'Liveri' 2024, Marc Marquez Kini 'Biru Muda'!

TERKINI

1/21/20241 min read

GRESINI Ducati MotoGP menjadi pasukan pertama mendedahkan 'Liveri' baharu pasukan itu bagi kempen 2024 yang dipacu dua adik beradik yang memiliki status juara dunia, Marc dan Alex Marquez.

Buat Marc Marquez, penampilannya bersama Gresini Ducati adalah babak baharu dalam kariernya selepas membuat kejutan meninggalkan Repsol Honda, musim lalu.

Berlangsung di Riccione, Itali, seperti dijangka pasukan itu meneruskan warna tradisinya iaitu kombinasi warna biru muda dan merah.

Tetapi apa yang menarik, tiada kelibat penaja utama baharu disebalik kehadiran nama besar seperti Marc Marquez menyertai pasukan itu.

Dan syarikat minuman tenaga gergasi, Red Bull kekal menjadi penaja peribadi bagi kedua-dua pelumba.

Seperti diketahui, gandingan Marc dan Alex akan menggunakan jentera Ducati GP23 bagi kempen musim 2024.

Pemilik Gresini Racing, Nadia Padovani mengakui teruja dengan kehadiran kedua-dua pelumba berprofil tinggi ke pasukan itu.

"Pasukan persendirian dengan juara dunia lapan kali dan 10 gelaran dunia di antara kedua-dua pelumba kami adalah sesuatu yang gila! Kami langsung tidak pernah membayangkan perkara ini.

"Kami tidak sabar untuk kembali ke litar dan lihat sejauh mana kami boleh pergi pada tahun ini."

Penampilan pertama Marc dan Alex bersma 'Liveri' baharu Gresini dijangka berlaku pada sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang yang dijadual pada 6 hingga 8 Februari depan.