GRESINI Ducati Pilih KL Destinasi Pelancaran Jentera, Liveri Musim 2026
Gresini Ducati pada musim ini tampil cemerlang menerusi pelumbanya, Alex Marquez yang menamatkan saingan sebagai naib juara dunia di belakang abangnya Marc Marquez.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/6/20251 min read


MALAYSIA sekali lagi menjadi tumpuan dunia MotoGP apabila pasukan satelit Ducati, Gresini Racing, mengumumkan pelancaran jentera dan liveri baharu pasukan bagi kempen baharu MotoGP musim 2026 dijadual berlangsung 31 Januari ini di ibu negara.
Pengumuman itu dibuat selepas pasukan utama Ducati Lenovo mengesahkan pelancaran jentera dan corak liveri mereka akan berlangsung pada 9 Januari di Madonna di Campiglio, Itali, menerusi acara tradisi “Campioni in Pista”.
Gresini Ducati pada musim ini tampil cemerlang menerusi pelumbanya, Alex Marquez yang menamatkan saingan sebagai naib juara dunia di belakang abangnya Marc Marquez.
Rakan sepasukan, Fermín Aldeguer turut mencuri perhatian sebagai pendatang baharu 'rookie' terbaik malah melakar kemenangan mengejut di Mandalika dan beberapa podium penting, sekali gus membantu Gresini muncul naib juara dunia kategori pasukan.
Pengurus Ducati Lenovo, Davide Tardozzi, menyifatkan Alex sebagai 'pelumba bertaraf dunia' manakala Aldeguer pula 'memberikan lebih daripada jangkaan' pada sepanjang musim.
Pelancaran di Kuala Lumpur ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi strategik bagi pasukan-pasukan MotoGP.
Tahun lalu, pasukan Monster Yamaha dan Pramac Yamaha turut memilih Malaysia sebagai lokasi pengenalan jentera baharu mereka, sekali gus menambah nilai komersial dan promosi sukan permotoran di rantau ini.
Selain itu, pelancaran Gresini dijadualkan berlangsung sejurus selepas ujian 'Shakedow' (29–31 Januari), menjadikan acara ini lebih signifikan kerana Malaysia menjadi pusat aktiviti pra-musim.
Selain ujian shakedown dan musim sejuk, Malaysia turut menjadi destinasi pelancaran rasmi musim baharu MotoGP 2026 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6–7 Februari 2026.

