GWM Souo 2000 Tayang Di Malaysia, Pelancaran Dah Dekat?
Pasaran motosikal tempatan dalam segmen touring mewah bakal dimeriahkan dengan kehadiran pencabar baharu menerusi GWM dan model pertama yang dijangka dibawah masuk iaitu GWM Souo 2000 membuat penampilan sulungnya, baru-baru ini
TERKINI
10/6/20251 min read


SEPERTI diketahui, persaingan dalam segmen touring mewah di pasaran tempatan bakal meriah dengan kehadiran pencabar baharu menerusi jenama GWM dan model pertama yang dijangka dibawah masuk - GWM Souo 2000 - membuat penampilannya dalam satu acara anjuran MForce Bike, baru-baru ini.
Tiba di bawah edaran MForce Bike, apa yang menarik adalah sekali pun GWM Souo 2000 berada dalam segmen mewah, harga jualannya dijangka cukup mengujakan iaitu bawah RM 190,000.
Sekali pun angka itu agak tinggi, ia sebenarnya jauh lebih murah berbanding pencabar yang sama dalam segmennya khususnya daripada jenama Jepun dan Eropah.
Seperti motosikal touring mewah lain, GWM Souo 2000 juga padat dengan pelbagai ciri premium dan teknologi canggih, menjadikannya antara model paling unik dalam segmennya.
Trenkuasanya dipacu enji bersesaran 1,999 cc, 8 Silinder Sebaris dengan dwi-camshaft bagi setiap bank silinder.
Enjin ini menghasilkan 151.5 Hp pada 6,000 rpm dan 190 Nm tork pada 4,500 rpm dan dipadankan dengan transmisi DCT lapan kelajuan dan sistem pacuan aci ke roda belakang.
Menurut GWM, enjin dan kotak gear GWM Souo 2000 dipasang rendah bagi menurunkan titik graviti, manakala rangka aluminium tempa disatukan tanpa skru atau bolt.
Di bahagian suspensi, ia menggunakan rekaan Hossack girder fork dengan wishbone berkembar, manakala penyerap hentak elektronik dengan pelarasan pintar dipasang di kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.
Dari segi elektronik, GWM Souo 2000 dilengkapi kluster instrumen digital TFT-LCD 12.3 inci yang dikuasakan cip Snapdragon 8155, menyokong kemas kini OTA dan kawalan suara.
Ciri ini digabungkan dengan pelbagai kawalan fizikal pada pemegang, menjadikannya seakan telefon pintar berkuasa tinggi atas dua roda.
Kemudahan lain termasuk tempat duduk dan pemegang berpemanas, cermin angin boleh laras, sistem audio lapan pembesar suara 360-watt, bantuan mula bukit, kawalan jelajah, sensor parkir belakang dan brek elektronik.
Bantuan tunggangan elektronik pula merangkumi ABS, kawalan cengkaman, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran pelanggaran belakang dan panggilan kecemasan.
Info lain adalah seperti berat 461 kg, dengan tangki bahan api 26.2 liter, tinggi pelana 740 mm dan ruang simpanan berkapasiti 118 liter menerusi 'box' dan dua kotak sisi.






