HAFIZH, Damok, Afif Gegar Sepang!

Tiga kali lagu Negaraku dimainkan di Sepang menerusi kejayaan Hafizh dari pasukan JDT Racing Team yang gah mengungguli Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000, kemenangan Syarifuddin Azman dalam kelas SS600 dan Ahmad Afif Amran yang menjuarai saingan UB150

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/11/20251 min read

PUSINGAN ke-5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 menjadi pentas kebangkitan luar biasa buat barisan negara apabila tiga kemenangan berjaya diraih dalam tiga kelas berbeza di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan lagu kebangsaan, Negaraku bergema sebanyak tiga kali di litar kebanggaan negara itu.

Mengetuai kejayaan itu adalah pelumba pasukan JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah yang tampil dominan dalam Perlumbaan 1 kelas ASB1000, diikuti kemenangan penuh bergaya Syarifuddin Azman dalam kelas SS600 serta Ahmad Afif Amran yang menjuarai saingan UB150.

Hafizh ungguli ASB1000, rampas kedudukan pendahulu

Bermula dari petak utama, Hafizh mempamerkan tunggangan cemerlang dengan menguasai perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat, meskipun saingan dicemari beberapa insiden kemalangan.

Pelumba berpengalaman itu tidak memberi ruang kepada pencabar, termasuk rakan senegara Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Racing Malaysia) yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand), melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

“Saya perlu kawal jentera dengan lebih berhati-hati pada empat pusingan terakhir kerana tayar depan dan belakang mula merosot. Jentera banyak tergelincir, tetapi apabila saya lihat (Keito) Abe terkeluar, saya cuba bertenang dan fokus untuk kekalkan rentak,” kata Hafizh yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R.

Hafizh turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik pasukan, selain menghargai sokongan keluarga, pasukan, penonton dan petugas litar.

Hafizh kini mendahului carta kejuaraan dengan 142 mata, mengatasi Zaqhwan yang mengumpul 134 mata.

Damok raih kemenangan pertama musim ini dalam SS600

Dalam kelas SS600, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok membuktikan keputusannya untuk tidak menyertai Kejuaraan Superbike Dunia adalah tepat apabila meraih kemenangan sulung musim ini bersama pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia.

Damok menewaskan rakan senegara, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala pelumba Thailand, Anupab Sarmoon (Yamaha Racing Thailand) melengkapkan podium.

Afif raih kemenangan sengit UB150

Pelumba berpengalaman negara, Ahmad Afif Amran dari pasukan Pitsbike Superfast JRT Rapido terus membuktikan kemampuannya sebagai 'raja' kapcai negara dengan menjuarai Perlumbaan 1 kelas UB150 yang seperti biasa, tampil sengit.

Lebih menarik, juara perlu ditentukan menerusi menerusi photo finish perbezaan terlalu tipis di garisan penamat.