HAFIZH Syahrin Akui Tiba Ke Magny-Cours Dalam Situasi Belum 100 peratus, Gembira Bawa Pulang 2 Mata!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/11/20231 min read

IMPAK daripada kemalangan di Suzuka, Jepun pada Julai lalu masih menghantui pelumba tunggal negara di kancah WorldSBK, Hafizh Syahrin Abdullah menghadapi perlumbaan WSBK 2023 di Perancis.

Perlumbaan Pusingan 9 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Magny-Cours adalah yang pertama buat pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda Team itu selepas tersisih daripada dua pusingan sebelum ini.

Tiba dengan semangat yang tinggi, Hafizh yang menunggang jentera Honda CBR1000RR-R tampak bergelut selepas menamatkan Perlumbaan 1 pada Sabtu dan Perlumbaan Superpole tanpa pungutan mata.

Tetapi, pelumba kelahiran Ampang itu bangkit pada Perlumbaan 2 dan menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dan memberikannya dua mata berharga.

Keputusan itu turut menyaksikan Hafizh terus konsisten mengutip mata dalam setiap pusingan perlumbaan yang diharunginya musim ini.

"Saya amat gembira dan keputusan ini adalah untuk semua orang dalam pasukan selepas semua kerja keras yang kami lekukan bersama," kata Hafizh.

"Saya masih belum 100 peratus dari sudut fizikal susulan daripada kemalangan yang saya peroleh ketika di Suzuka tetapi saya amat bermotivasi untuk melakukan yang terbaik pada minggu ini.

"Sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik pada empat pusingan terakhir dan mengumpul dua mata di sini amat bermakna bagi saya.

"Beberapa kemalangan dan kibaran bendera merah mungkin membantu saya sedikit di mana saya boleh menukar tayar baharu sebelum perlumbaan dimulakan semula dan memperoleh kelajuan yang lebih baik dan mendapatkan keputusan seperti ini.

"Sasarannya adalah untuk terus bekerja keras dan cuba untuk terus meningkat dari perlumbaan ke satu perlumbaan, menggunakan segala informasi yang kami ada untuk melangkah ke depan."

Saingan WSBK 2023 ketika ini hanya berbaki tiga pusingan iaitu di Aragon, Sepanyol, Algarve, Portugal sebelum menutup tirai di Jerez, Sepanyol pada Oktober.