HAFIZH Syahrin Bawa Pulang Gelaran 'Raja Asia' Ke Malaysia

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah memastikan gelaran juara keseluruhan kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 menjadi miliknya menerusi kejayaan di Thailand

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/7/20251 min read

PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah memastikan gelaran juara keseluruhan kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 dibawa pulang ke Malaysia dalam aksi penuh dramatik di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, hari ini.

Meskipun hanya menamatkan perlumbaan terakhir di tempat kedua, bekas pelumba MotoGP negara itu sah dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini dengan kelebihan tiga mata berbanding pencabar utamanya yang juga pelumba tuan rumah Nakarin Atiraphuvapat dari Honda Racing Thailand.

Podium perlumbaan dilengkapkan oleh seorang lagi wakil negara, Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Racing Malaysia).

Bermula di petak kelima, Hafizh pada awal perlumbaan tampak bergelut sebelum meraih semula rentaknya malah berjaya berada di tempat kedua di belakang Nakarin berbaki 10 pusingan perlumbaan namun kedudukan itu kekal dicabar sengit Zaqhwan,

Mengetahui kekal di tempat ketiga menyaksikan gelaran keseluruhan terlepas di mana Nakarin selesa memimpin perlumbaan, pintasan berani pada pusingan terakhir berjaya memberikan Hafizh kemenangan yang amat dinantikan sekaligus mengesahkan mahkota Asia.

Apa yang menarik, kedua-dua pelumba negara ini pernah mencetuskan kontroversi pada pusingan kelima di Sepang, Oktober lalu, susulan insiden kemalangan yang hangat diperkatakan.