HAFIZH Syahrin Catat Tempat Ke-10 Ducati Lenovo RoC 2026

Turut menarik perhatian, Hafizh Syahrin yang juga pelumba pasukan JDT Racing Team dan hadir menerusi tiket juara SBK Asia bukan sahaja muncul antara tiga pelumba bukan asal Itali di kelompok 10 terbaik, malah berjaya merekodkan masa pusingan terpantas perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/6/20261 min read

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan yang disertai barisan bintang MotoGP, WorldSBK dan juara benua Ducati Lenovo Race of Champions di Litar Misano, Itali di tempat ke-10.

Turut menarik perhatian, pelumba pasukan JDT Racing Team yang hadir menerusi tiket juara SBK Asia itu bukan sahaja muncul antara tiga pelumba bukan asal Itali di kelompok 10 terbaik, malah berjaya merekodkan masa pusingan terpantas perlumbaan dengan catatan 1 minit 36.657 saat.

Pada perlumbaan ikonik yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-100 tahun penubuhan Ducati itu, pelumba berusia 30 tahun yang juga bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK menamatkan perlumbaan 23.617 saat di belakang pemenang, Nicolo Bulega.

Pelumba Itali, Bulega mendominasi perlumbaan dari awal untuk menewaskan Alberto Surra di tempat kedua manakala Lorenzo Baldassari melengkapkan podium yang kesemuanya diisi wakil WorldSBK.

Juara dunia MotoGP 2 kali, Francesco Bagnaia di tempat ke-4 namun rakan sepasukannya, Marc Marquez yang juga juara dunia 9 kali melepasi garisan penamat di kedudukan ke-12.

"Ini adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Dapat kembali berlumba di litar ikonik bersama bintang MotoGP seperti Marc Marquez, Francesco Bagnaia, Franco Morbidelli, Alvaro Bautista dan ramai lagi adalah sesuatu yang menakjubkan.

"Minggu ini bermula dengan baik apabila saya mencatat masa ke-10 terpantas pada sesi kelayakan dan kami berjaya menamatkannya dengan cemerlang," kata Hafizh.

Hafizh yang pada musim ini beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) sedang mempamerkan prestasi luar biasa dengan menyapu bersih kemenangan dalam kesemua 6 perlumbaan yang ditawarkan dalam kelas elit ASB1000 pada musim ini.