HAFIZH Syahrin Cipta Sejarah Di Mandalika
Selepas berada di depan, Hafizh Syahrin yang diberi julukan 'El Pescao' itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengerah jenteranya mencatat deretan masa pusingan terpantas sebelum melepasi garisan penamat dengan kelebihan hampir 3 saat di depan pencabar terdekatnya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/8/20261 min read


PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terus membuktikan keunggulannya apabila merangkul kemenangan ke-8 berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 2 kelas ASB1000 pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Mandalika, hari ini.
Bermula dari petak utama, bekas pelumba MotoGP itu pada sedikit tenggelam apabila jatuh ke tangga ke-5 sebelum bangkit pada Pusingan ke-2 untuk mula memimpin perlumbaan yang berlangsung sebanyak 15 pusingan itu.
Dan selepas berada di depan, pelumba bergelar 'El Pescao' itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengerah jenteranya mencatat deretan masa pusingan terpantas, bermula 1 minit 36.332 saat (s) dan turun mendadak kepada 1:35.349s pada pusingan keenam.
Rentak agresif itu membolehkan Hafizh menjarakkan diri dengan kelebihan lebih 3 saat di depan pencabarnya iaitu pelumba SDG HARC-PRO Honda, Keito Abe pada satu ketika.
Hafizh akhirnya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 24 minit 03.193s, menewaskan Abe di tempat kedua (24:05.883s).
Pelumba Forty Forged Asia, Rocco Sessler melengkapkan podium di tempat ketiga (24:06.545s).
Lapan kemenangan daripada lapan perlumbaan menyaksikan Hafizh mengumpul 200 mata penuh namun terus dicabar Abe dari Jepun yang menghuni tangga ke-2 dengan mengutip 156 mata.
Pusingan 5 ARRC dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS pada 4 hingga 6 September ini.

