HAFIZH Syahrin Dah Tiba Di Jepun, Nampak Sedia Hadapi Suzuka 8 Hours!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/3/20231 min read

KETIADAAN pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah di Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 di Republik Czech, minggu lalu memberi petanda bekas pelumba MotoGP itu belum cergas.

Berikutan belum cergas, ketiadaan Hafizh turut memberi bayangan dia berkemungkinan tidak beraksi di satu lagi perlumbaan berprestij, Suzuka 8 Hours yang dijadual, hujung minggu ini.

Sebagai info, Hafizh mengalami kecederaan teruk (retak tulang C6 - bahagian leher) ketika menjalani sesi ujian rasmi Suzuka 8 Hours yang memaksanya tidak beraksi pada perlumbaan di WSBK di Imola, Itali selain Czech.

Tetapi, timbul perkembangan positif apabila pelumba itu nampaknya sudah berada di Jepun sebagai persediaan menghadapi perlumbaan dalam kalendar FIM EWC (Endurance World Championship) itu.

Tidak berseorangan, pelumba itu turut ditemani isteri dan anak lelakinya.

Perkongsian mengenai kehadirannya di Jepun dan di Litar Suzuka dikongsikan di laman sosial pasukannya di kejuaraan berkenaan, AutoRace Ube Racing Team.

Dalam perkongsian berkenaan, dapat dilihat Hafizh sempat membawa keluarganya melawat lokasi menarik di Osaka.

Lebih menarik, pelumba kelahiran Ampang itu juga dilihat sudah berada di pit pasukannya di litar bersama rakan sepasukannya, Dan Linfoot dan Takuya Tsuda.

Begitupun, Hafizh yang dijadualkan berlumba menggunakan jentera Suzuki GSX-R1000R dilihat tidak memakai sut lumba.

Sebagai makluman, perlumbaan Suzuka 8 Hours dijadual bermula pada 4 Ogos (esok) dengan perlumbaan utama pada 6 Ogos (Ahad).