HAFIZH Syahrin Dedah Hampir Bersara Selepas Naik Podium Perlumbaan 2 ASB1000 Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/17/20241 min read

HAFIZH Syahrin Abdullah menghadiahkan podium pertama pasukannnya JDT Racing Team di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 dalam kelas elit ASB1000, hari ini sambil memberikan penghargaan penuh kepada bosnya TMJ.

Tidak menamatkan Perlumbaan 1, semalam susulan masalah teknikal jenteranya Ducati Panigale V4R, bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK negara itu tampak lebih meyakinkan hari ini.

Sentiasa berada di posisi podium malah turut mendahului perlumbaan, sedikit kesilapan menyaksikan kelebihan pelumba pasukan 'Rookie' di ARRC itu dipintas juara, Andi Farid Izdihar di penghujung perlumbaan.

Tetapi Hafizh yang baru pertama kali menunggang jentera Ducati di kejuaraan kompetitif dan tidak menyertai sesi ujian rasmi pra-musim mengekalkan kedudukannya di posisi podium dan dibezakan 0.038 saat di depan pemenang tempat ketiga, Nakarin Atiratphuvapat.

"Saya cuba memberi tekanan sejak daripada awal kerana saya tahu perlumbaan ini pasti sukar dan kami bernasib baik ia adalah pusingan terakhir kerana jika ada satu lagi pusingan kami akan kehabisan minyak," kata Hafizh.

Dan pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu memberikan penghargaan cukup tinggi kepada pemilik pasukan JDT Racing Team, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas peluang yang diberikan kepadanya.

"Terima kasih kepada bos saya, TMJ (Tunku Mahkota Johor) kerana tanpa baginda saya tidak berada di sini kerana saya hampir untuk tidak lagi berlumba secara kekal.

"Ini adalah permulaan daripada projek, pelan ini untuk membawa nama JDT ke pentas dunia," katanya.

Sementara itu, Andi Farid (Honda Asia-Deram Racing with Astremo) memperbaiki kedudukan sebagai naib juara pada Perlumbaan 1 untuk bergelar juara pada Perlumbaan 2.

Atiratphuvapat yang turut dikenali sebagai 'Chip' turut menceriakan peminat tuan rumah dengan mengisi kedudukan podium terakhir.

Juara Perlumbaan 1, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing menamatkan saingan di tangga kelima.