HAFIZH Syahrin Harap Pengalaman Di Jerez Cipta Impak Positif

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/27/20231 min read

SELEPAS dua pusingan terakhir ditamatkan tanpa pungutan mata, pelumba negara di kancah WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah berharap pengalaman di Jerez memberikannya keputusan positif pada pusingan terakhir kejuaraan itu, minggu ini.

Sebelum aksi di Jerez, Sepanyol dan Algarve, Portugal, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Japan Honda itu konsisten mengutip mata pada perlumbaan yang disertainya.

Perkembangan itu menyaksikan Hafizh yang menunggang jentera Honda CBR1000RR-R tak berjaya memperbaiki kedudukan di carta kejuaraan dan menghuni tangga ke-21 keseluruhan selepas sekadar mengutip 10 mata.

Sebagai bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia, Hafizh memiliki pengalaman beraksi di Jerez, Sepanyol dan kelebihan itu diharapkan dapat membantunya mencatat keputusan yang baik.

"Saya tak pernah menunggang jentera Superbike di Jerez tetapi saya mengenali dengan trek ini dengan amat baik dan pernah berlumba di sini di Kejuaraan Motosikal Dunia.

"Sudah tentu saya tak tahu bagaimana jentera kami akan bertindakbalas di sini, tetapi kami akan mengambil pendekatan yang biasa, cuba untuk menambahbaik setiap kali keluar selekoh dan berusaha untuk mencari kelajuan yang diperlukan.

"Saya tak sabar untuk beraksi di sini."

Sementara itu, penampilan di Jerez juga berkemungkinan menjadi aksi terakhir Hafizh dalam saingan WorldSBK selepas bekas pelumba MotoGP negara itu sudah pun menyatakan komitmennya bersama pasukan JDT Racing Team untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim depan.