HAFIZH Syahrin Abdullah mengakui tak sabar untuk menunggang jenteranya Ducati Panigale V4R bagi menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Buriram, Thailand minggu ini.
Berbaki dua perlumbaan yang menawarkan keseluruhan 50 mata, pelumba pasukan JDT Racing Team itu ketika ini mengumpul 137 mata dan menghuni tangga ketiga keseluruhan tetapi hanya dibezakan 5 mata dengan pendahulu kejuaraan, Yuki Kunii dari Jepun.
Pada perlumbaan pertamanya di Buriram pada Mac lalu, Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK berdepan masalah teknikal jenteranya sebelum bangkit menamatkan perlumbaan sebagai naib juara pada Perlumbaan 2.
Justeru, Hafizh berkata dia dan pasukannya kini tiba di litar dengan lebih bersedia dengan sasaran untuk merangkul gelaran keseluruhan apabila persaingan melabuhkan tirainya.
"Saya bersedia untuk bertarung di Buriram. Saya sudah menjalani persiapan secara fizikal dan mental dengan baik sepanjang dua bulan sebelum menghadapi pusingan terakhir ini.
"Pasukan juga berusaha untuk menyediakan jentera yang terbaik untuk saya. Dan kami juga mempunyai beberapa orang (krew Ducati) untuk menyokong kami pada perlumbaan kali ini," kata Hafizh.
Tiba di ARRC dengan status yang tinggi, Hafizh begitupun mengakui setiap kejuaraan mempunyai cabaran berbeza.
"Sekalipun saya ada pengalaman sebagai pelumba MotoGP dan WorldSBK, apabila kita tiba di kejuaraan baharu, kamu masih perlu belajar sesuatu. Di sini (ARRC) juga mempunyai pelumba dari kejuaraan dunia dan ia membuatkannya menjadi amat kompetitif.
"Untuk jentera Ducati Panigale V4R, memang tidak mudah untuk mempelajari jentera ini terutama dari sudut elektronik tetapi selepas beberapa pusingan, kami semakin memahaminya.
"Pada pusingan sebelum ini, kami berdepan dengan masalah 'wobble' dan jika kami boleh selesaikan masalah ini, situasi kami akan menjadi lebih baik.
"Apapun saya akan berikan terbaik dan berusaha lebih 100 peratus untuk cuba menjulang kejuaraan. Apa saja boleh berlaku dalam perlumbaan tetapi saya lebih bersedia berbanding pada awal musim.
"Saya berharap dapat berada di podium dalam kedua-dua perlumbaan dan menjulang kejuaraan."