HAFIZH Syahrin, Kasma Daniel Pastikan Lagu Negaraku Bergema Di Buriram

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menjuarai Perlumbaan 1 kelas ABS1000 manakala jaguh Hong Leong Yamaha Racing, Kasma Daniel Kasmayudin menakluk kelas SS600

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/9/20261 min read

PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah dan jaguh Hong Leong Yamaha Racing, Kasma Daniel Kasmayudin memastikan dua gelaran juara menjadi milik Malaysia selepas menakluk Perlumbaan 1 kelas masing-masing pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Buriram, Thailand, hari ini.

Dalam saingan kelas perdana ASB1000, Hafizh yang bermula dari petak kelima mempamerkan kebangkitan menarik apabila kekal tenang menyusun strategi sekali pun terpaksa mengharungi penalti 'long lap'.

Dan detik kebangkitan juara bertahan itu bermula pada pusingan kelapan apabila dia mencelah dengan kemas untuk memintas pelumba Jepun, Keito Abe dan pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia, Zaqhwan Zaidi secara serentak, sebelum merampas kedudukan pendahulu secara mutlak daripada seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar pada pusingan kesembilan.

Hafizh jelas menggunakan pengalaman yang dimiliki apabila terus menjarakkan diri untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa 24 minit 06.445 saat (s), menewaskan Azroy di tempat kedua (24:09.071s) dan Abe di kedudukan ketiga (24:09.321s) untuk melengkapkan kemenangan ketiga berturut-turut buatnya.

"Latihan memang sangat membantu. Saya fokus mengekalkan rentak dan bersabar sebelum menyerang kerana sasaran awal hanyalah kelompok empat terbaik. Kemenangan istimewa ini adalah untuk peminat, keluarga dan bos saya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menjadi tulang belakang saya," kata Hafizh.

Terdahulu, kecemerlangan kem negara dimulakan dalam kelas SS600 apabila Kasma melakar kemenangan dramatik menerusi 'photo-finish' selepas menewaskan pelumba tuan rumah dari Honda Racing Thailand, Thanat Laoongplio dengan perbezaan masa sangat tipis iaitu 0.003s.

Perlumbaan itu berlangsung sengit bagaikan 'permainan catur' pada kelajuan 250 kilometer sejam (km/j) yang menyaksikan Kasma terpaksa bersaing ketat bertukar kedudukan dengan Thanat, Anupab Sarmoon dan rakan sepasukannya, McKinley Kyle Paz.

Kemuncak aksi mendebarkan berlaku di selekoh terakhir pusingan penamat apabila Kasma mengambil risiko menyelinap di laluan dalam, memecut seiringan bersama Thanat menuju garisan penamat untuk meraih kemenangan.

"Alhamdulillah, ada rezeki buat saya di selekoh terakhir persis kejayaan sewaktu saya muncul juara keseluruhan tahun lalu. Waktu itu saya beritahu diri sendiri inilah masanya untuk menyerang, dan segalanya membuahkan hasil." kata Kasma.