HAFIZH Syahrin Ke ARRC Bersama JDT Racing Team 2024, 'Bye-Bye' MIE Honda?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/9/20231 min read
SATU perkembangan menarik membabitkan arena sukan permotoran dua roda negara diperoleh dari Selatan tanah air yang membabitkan JDT dan bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Bukan sekadar khabar angin, perkembangan itu diumumkan sendiri di laman sosial rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers.
Lebih menarik, kenyataan itu turut datang bersama gambar Hafizh bersama dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memegang sebuah helmet jenama Shoei.
Hafizh sendiri turut berkongsikan perkara berkenaan di laman sosial miliknya dan apa yang lebih mengujakan, selain beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tahun depan, pasukan itu turut mengintai aksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).
"Jenama Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menceburi sukan perlumbaan motosikal bersama pelumba terkenal Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mulai 2024," tulis kenyataan itu.
"JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship (Kejuaraan Motosikal Asia) dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak."
Layak untuk dilabel antara pelumba terbaik pernah ada dalam saingan dua roda, Hafizh ketika ini berlumba untuk musim keduanya di perlumbaan WorldSBK bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda.
Begitupun, prestasi yang dipemerkan tidak begitu memberangsangkan dan hanya mengumpul 10 mata daripada 8 pusingan perlumbaan disertainya.
Kempen WorldSBK 2023 akan menutup tirainya di Jerez, Sepanyol pada 28 dan 29 Oktober ini.