HAFIZH Syahrin Kekal Gelaran 'Raja Asia'
Kejayaan berprestij itu dilakar pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin di laman sendiri pada saingan Pusingan 5 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) berbaki satu lagi pusingan untuk diharungi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/6/20261 min read


PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menoktahkan perjalanan untuk mengekalkan gelaran 'Raja Asia' kelas utama ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 buat kali kedua beturut-turut musim ini.
Lebih manis, kejayaan berprestij itu dilakar di laman sendiri pada saingan Pusingan 5 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) berbaki satu lagi pusingan untuk diharungi.
Kejuaraan itu disahkan selepas Hafizh mempamerkan tunggangan penuh disiplin untuk menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-2.
Sedar misi utamanya adalah untuk meraih kejuaraan keseluruhan, bekas pelumba MotoGP negara itu mengambil pendekatan strategik dengan mengelak sebarang risiko tidak perlu.
Justeru berbanding untuk terus memberi tekanan kepada pelumba Jepun, Kaito Toba yang akhirnya menjuarai perlumbaan, Hafizh memilih untuk tidak memaksa dirinya untuk menang, sebaliknya fokus mengekalkan jarak selamat dengan pencabar terdekat takhtanya, Keito Abe dari pasukan SDG Harc-Pro. Honda Philippines.
Percaturan taktikal itu membuahkan hasil apabila Hafizh berjaya menjarakkan diri sejauh 3saat di hadapan Keito, sekali gus memastikan kejuaraan pada musim ini menjadi miliknya lebih awal meskipun rentetan kemenangan bersihnya pada musim ini lebur.
Toba yang beraksi bersama pasukan Forty Forged Asia Racing Team dan hadir sebagai pelumba 'wildcard' menjuarai perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 37.223 saat (s).
Hafizh melintasi garisan penamat dengan catatan 29:40.108s, manakala Keito Abe terpaksa berpuas hati melengkapkan pentas podium di tempat ketiga (29:44.452s).
Dalam pada itu, saingan di Sepang turut menyaksikan aksi positif jagoan tempatan yang lain apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.
Duo pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Zaqhwan Zaidi melengkapkan hari cemerlang kem Malaysia apabila masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4 dan ke-5.

