HAFIZH Syahrin Kembali Ke WSBK, Bawa Lencana JDT Racing Team

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/10/20241 min read

PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah dijadual membuat kepulangan semula ke kancah Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim ini dan lebih menarik, berlumba bersama pasukan JDT Racing Team.

Perkembangan menarik itu diperoleh menerusi satu siaran media ringkas oleh johorsoutherntigers dengan JDT Racing Team memperoleh tiket 'Wildcard' untuk beraksi di Pusingan 7 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 bulan depan.

Sebagai info, Pusingan 7 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Litar Portimao, Portugal - gelanggang yang tidak asing buat Hafizh yang juga bekas pekumba MotoGP negara pada 9 hingga 11 Ogos depan.

Dan perkara itu itu menyaksikan bekas pelumba MotoGP negara itu kembali berentap dengan bintang-bintang WorldSBK seperti Alvaro Bautista, Toprak Razgatlioglu dan Jonathan Rea.

Apa yang menarik, pasukan JDT Racing Team yang dipacu Hafizh akan menggunakan ‘liveri’ JDT Racing Team pada perlumbaan berkenaan.

Selain itu, JDT Racing Team juga akan menerima bantuan pasukan teknikal daripada Ducati Corse dan menunggang jentera Ducati Panigale V4R yang memiliki spesifikasi sama seperti jentera milik Bautista.

Hafizh yang menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara beraksi sepenuh musim di pentas MotoGP meninggalkan WSBK sejurus musim lalu berakhir selepas dua musim berlumba di kejuaraan berkenaan.

Pelumba kelahiran Ampang itu pada musim lalu mengharungi kempen yang agak mengecewakan di pentas WorldSBK bersama pasukan satelit Honda, Petronas MIE Racing Honda selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-21 selepas mengumpul 11 mata kejuaraan.

Tempat Hafizh di pasukan itu di WorldSBK pada musim ini digantikan oleh pelumba kelahiran Johor, Adam Norrodin yang baru saja melangsungkan perkahwinan, baru-baru ini.

Selain Adam, turut beraksi dalam kempen WSBK 2024 adalah seorang lagi pelumba berbakat negara, Khairul Idham Pawi dalam kelas WorldSSP.

Selepas berehat hampir sebulan, kempen WSBK 2024 akan bersambung di Pusingan 5 di Donington Park, United Kingdom minggu ini.