HAFIZH Syahrin Mengganas Di Buriram

Kejayaan itu turut membenarkan Hafizh Syahrin yang juga pelumba JDT Racing Team merampas kedudukan carta kedudukan pelumba dengan mengumpul 173 mata, kelebihan lapan mata di hadapan Nakarin Atiraphuvapat yang turun ke tangga kedua dengan 165 mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/6/20251 min read

PERSAINGAN merebut gelaran juara Asia dalam kelas elit ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim ini menjadi lebih menarik apabila pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menjuarai Perlumbaan 1 di Buriram, Thailand, hari ini.

Memulakan perlumbaan dari petak kelima, Hafizh terpaksa mengerah segala kudratnya sebelum menang dengan persaingan sengit diberikan pelumba kelompok depan yang dibarisi pelumba tuan rumah, Nakarin (Honda Racing Thailand), pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing) dan pelumba Jepun, Keito Abe (SDG HARC-Pro Honda Philippines).

Meskipun berjaya memimpin perlumbaan berbaki 7 pusingan, ia tidak lama apabila jaguh tuan rumah, Nakarin Atiraphuvapat tidak membenarkan situasi itu berterusan apabila kedudukan pendahulu saling berubah sebelum merampas kedudukan sehingga pusingan terakhir.

Dan menariknya, sekali pun Hafizh pada satu ketika berada di posisi ketiga, bekas pelumba MotoGP itu melakukan pintasan drastik pada pusingan terakhir membolehkannya melepasi garisan penamat sebagai juara.

Lebih menarik, pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dan pelumba Jepun, Keito Abe melengkapkan kedudukan podium dengan Nakarin terpaksa berpuas hati di tempat ke-4.

Kejayaan itu turut membenarkan Hafizh kini menerajui carta kedudukan pelumba dengan mengumpul 173 mata, memiliki kelebihan lapan mata di hadapan Nakarin yang turun ke tangga kedua dengan 165 mata.

Dalam pada itu, tidak kedudukan podium berjaya diraih kem negara dalam kelas SS600, AP250 dan UB150.

Begitupun, kegembiraan kem negara di Buriram berjaya ditambah apabila seorang lagi pelumba negara, Ramdan Rosli yang memastikan Jalur Gemilang berkibar megah menerusi kemenangan dalam kelas TVS Asia.