HAFIZH Syahrin Mengganas Di Mandalika
Kejayaan membenarkan Hafizh Syahrin yang juga bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK merampas carta kedudukan pendahulu daripada pelumba Jepun, Keito Abe selain berturut-turut mengikuti kemenangan di Perlumbaan 2 di Motegi, Jepun pada bulan lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/30/20251 min read


LAGU Negaraku bergema megah di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia selepas pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah cemerlang menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini.
Kejayaan itu membenarkan Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK merampas carta kedudukan pendahulu daripada pelumba Jepun, Keito Abe selain berturut-turut mengikuti kemenangan di Perlumbaan 2 di Motegi, Jepun pada bulan lalu.
Dan kemenangan itu turut membuktikan keserasiannya bersama jentera Ducati Panigale V4R semakin baik.
Selepas mengharungi sesi kelayakan penuh drama di sebelah pagi, Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak utama mempamerkan tunggangan yang cukup kemas dengan mendahului sejak awal sebelum menamatkan saingan dengan catatan masa 20 minit 48.234 saat (s).
Menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat, ketinggalan 2.959s dengan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Zaqhwan Zaidi dari pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia melengkapkan kedudukan podium.
Hafizh mendedahkan dia sebenarnya berdepan detik sukar apabila panel meter jenteranya tidak berfungsi sepanjang perlumbaan, memaksa dia bergantung sepenuhnya kepada naluri dan pengalaman.
"Saya tidak tahu rentak kelajuan saya kerana panel meter saya tidak berfungsi hari ini. Semalam ia okay, dan semasa kelayakan juga sama, tetapi pada perlumbaan ia tidak berfungsi. Jadi saya berkata dalam hati, saya hanya perlu mengikut perasaan saya daripada semalam," kata Hafizh.
"Saya perlu melakukan sesuatu menggunakan naluri saya, teruskan dan jangan lakukan kesilapan, cuba menguruskan tayar dan segala-galanya, tetapi jentera cukup baik."
Hafizh dalam pada itu mendedikasikan kemenangan itu kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta pasukannya yang bertungkus lumus menyediakan jentera terbaik buatnya.
"Tanpa baginda, saya tidak akan berada di sini untuk berlumba. Terima kasih juga kepada pasukan dan juga ketua krew saya yang membantu saya sejak di Sepang. Kami tidak mengubah langsung pelarasan jentera sejak dari Sepang dan saya tidak pernah melakukannya sebelum ini, tetapi kadang-kadang ia bagus," katanya.
Dalam pada itu, Hafizh berazam untuk mengulangi kejayaan ini sebagai hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan, esok.
"Kami akan cuba lakukannya sekali lagi esok untuk Hari Merdeka," katanya.
