HAFIZH Syahrin 'Petik' BMW TKKR, Reiterberger Pencabar Utama Di ARRC 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/2/20241 min read
SEPERTI jangkaan, pelumba Jerman, Markus Reiterberger dari pasukan ONEXoX BMW TKKR dilabel pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah sebagai antara pencabar utamanya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.
Reiterberger yang menunggang jentera BMW M1000RR 'mengganas' pada musim lalu apabila merangkul tujuh kemenangan daripada 11 perlumbaan yang ditawarkan pada ARRC 2023 sekaligus bergelar juara kelas ASB100 dengan jurang mata cukup besar.
Ketika ditanya mengenai pencabarnya pada penampilan sulungnya di kelas elit itu, Hafizh yang dijadual menunggang Ducati Panigale V4R tanpa berselindung 'memetik' nama Reiterberger selain beberapa penyandang juara dari Malaysia termasuk Zaqhwan Zaidi (Honda), Azlan Shah Kamaruzaman (BMW) dan Kasma Daniel Kasmayuddin (Yamaha).
Dan menariknya, kata-kata Hafizh juga seperti memberi petanda pasukan ONEXoX BMW TKKR dan Reiterberger akan kekal berlumba di ARRC musim ini sekalipun dipalit beberapa masalah.
"Juara tahun lalu, Markus Reiterberger saya dengar dia akan terus berlumba dan juga juara sebelum itu, Zaqhwan (Zaidi) dan saya melihat mereka sebagai pencabar utama dan kami akan cari jalan bagaimana untuk menewaskan mereka.
“Dan sudah tentu Zaqhwan (Zaidi), pelumba (berstatus) juara (2022). Inilah pesaing yang saya mahu bersaing di atas trek dan kita perlu cari jalan bagaimana nak menewaskan mereka.
“Sudah tentu Azlan Shah (Kamaruzaman) yang juga senior saya dan beliau salah seorang pelumba yang kita patut berwaspada.
"Apapun, musim masih belum berjalan dan ketika ini semua pelumba adalah lawan kepada saya," kata Hafizh yang menjelaskan ARRC adalah kejuaraan yang cukup kompetitif.
Sebelum ini, pasukan ONEXoX BMW TKKR dikatakan berdepan masalah penaja untuk meneruskan cabaran di ARRC musim ini dengan Reiterberger turut memiliki tugasan di kejuraan endurance dunia EWC.
Sebelum kempen ARRC 2024 membuka tirainya di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini, kesemua pencabar terlebih dulu akan mengharungi ujian pra-musim yang dijadual pada 11 hingga 13 Mac.